Jangan cepat ‘red flag’ orang, kenal dulu sisi peribadi – Aweera

HANTARAN di Instagram tidak ditujukan kepada individu tertentu, penyanyi Aweera mengakui menegur secara rambang berkenaan sikap segelintir pihak yang mudah menggelarkan orang lain mempunyai tanda bahaya atau ‘red flag’.

Aweera atau nama sebenar Nasharul Aweera Norhissham, 35, berkata, perkara dibangkitkan hanya untuk menyuntik kesedaran agar jangan mudah memberikan label kepada sesiapa pun tanpa mengenali sisi peribadi mereka terlebih dahulu.

“Memang benar saya ada buat hantaran mengenai ‘red flag’ di Instagram, tetapi bukan disebabkan rasa tidak puas hati terhadap seseorang, sebaliknya secara umum.

“Saya rasa itu (gelar) perbuatan tidak baik andai kita lihat orang dari segi luaran sahaja. Kita kena kenali individu itu dulu, baru boleh kalau nak ‘red flag’ dia.

“Kita semua pun tak sempurna. Baik lelaki atau wanita, kita kena bagi masa untuk saling mengenal. Kalau sudah tak nak terima, tidak mengapalah,” katanya selepas sidang media konsert Trilogi serta pelancaran lagu Gila di Astana Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Menurut vokalis kumpulan Mojo itu, pandangan sedemikan dikongsikan berikutan pemerhatian mengenai tanggapan buruk terhadap seseorang yang juga seperti terikut-ikut dengan budaya barat.

“Cuma benda ini kadang-kadang kita maaf katalah mereka yang umur 30 tahun ke bawah ini kebanyakannya kena belajar banyak lagi. Sebab apa, mereka terlalu ikut budaya barat yang asyik nak ‘red flag’ orang lain.

“Suka sangat menunding jari. Sebenarnya macam inilah, kita lihat sahaja diri sendiri, cermin dulu sebelum kita nak cop buruk individu lain. Adakah awak sempurna? itu sahaja,” ujarnya.

Mengulas sama ada hal dibangkitkan menunjukkan masyarakat semakin toksik, katanya perkara tersebut berbalik kepada sikap individu.

“Bukan kesemuanya toksik, cuma kadang-kadang sikap sedemikian menunjukkan pemikiran yang kurang matang.

“Kita ini manusia biasa dan manusia sentiasa boleh berubah pada bila-bila masa. Hari ini seseorang itu mungkin melakukan kesilapan, tetapi tidak mustahil dia berubah menjadi lebih baik pada masa akan datang.

“Semuanya lahir daripada jiwa. Mulut boleh bercakap macam-macam, tetapi hati dan jiwa seseorang itu tidak boleh dinilai hanya melalui luaran,” kongsinya.

Pada masa sama, mengenai soal hubungan, dia yang 10 tahun tanpa kekasih berharap semua insan dapat menerima hakikat dan bersikap terbuka andai tiada jodoh dengan insan tersayang.

“Kalau seseorang itu sudah tidak mahukan kita, terimalah dengan reda. Tak perlu memaksa atau merayu-rayu. Jodoh semuanya sudah ditentukan
Allah,” ungkapnya.

Berkenaan konsert di Astana Putra yang dijadualkan pada 18 Julai ini, Aweera berkata mereka bertiga termasuk Aepul Roza dan Fiq Halim sudah membuat persediaan rapi menunggu tarikh tersebut.

“Single Gila juga antara 30 lagu yang bakal disajikan pada konsert Trilogi nanti dengan dibahagikan kepada beberapa segmen,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok