ENGGAN membiarkan lagu-lagu hebat sekadar menjadi nostalgia, komposer dan penerbit, Ajai merancang merakamkan semula dua karya malar segar yang pernah mencipta fenomena suatu ketika dahulu iaitu Cinta Di Akhir Garisan dan Isabella 98.
Ajai atau nama lengkapnya, Mohd Faizal Maas, 51, berkata lagu yang bakal diberikan sentuhan baharu menerusi suara penyanyi generasi muda itu diyakini mampu membawa karya berkenaan kepada kelompok pendengar masa kini.
Katanya, usaha tersebut bukan sekadar sebuah projek rakaman semula biasa, sebaliknya misi memperkenalkan semula karya legenda kepada generasi yang mungkin tidak pernah melalui zaman kegemilangannya.
Cinta Di Akhir Garisan sebelum ini dinyanyikan empat penyanyi wanita hebat dan kali ini akan diberikan nafas baharu menerusi penyanyi wanita Gen Z yang juga memiliki kualiti vokal terbaik.
“Bagi satu lagi lagu, versi asal dinyanyikan empat penyanyi legenda lelaki jadi kenapa tidak kita bagi peluang kepada orang muda pula untuk memperkenalkan lagu ini dengan cara mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single Aisha Retno di Kenangan Kopi, TRX, baru-baru ini.
Akuinya, walaupun idea merakamkan semula lagu popular sering dianggap mudah, hakikatnya proses tersebut memerlukan penelitian serius, terutama apabila melibatkan isu hak cipta.
Katanya, ramai yang memilih tidak ‘menyentuh’ karya lama berikutan proses mendapatkan kebenaran daripada pemilik asal bukan boleh dilakukan dalam tempoh singkat.
“Selepas penerbitan versi asal, tidak ramai yang merakamkan semula lagu ini kerana isu hak cipta merupakan perkara rumit.
Pencipta lagunya adalah individu dari luar negara, manakala seni kata dialih bahasa oleh Johari Teh.
“Saya pernah melalui proses itu sebelum ini, jadi saya tahu bagaimana prosedur serta perkara yang diperlukan untuk kerja rakaman semula.
Saya rasa sekarang adalah masa yang tepat untuk menghidupkan kembali Cinta Di Akhir Garisan dan Isabella 98,” ujarnya.
Pada masa sama, perancangan berkenaan secara tidak langsung memperlihatkan kesungguhan pihak Usanita Entertainment dalam memastikan projek tersebut dilaksanakan mengikut prosedur tanpa mengabaikan hak pemilik karya asal.
Bercerita lanjut, Ajai mengakui Isabella 98 dan Cinta Di Akhir Garisan sememangnya mempunyai tempat tersendiri dalam sejarah muzik tempatan serta di rantau ini.
Terdahulu, Isabella 98 ciptaan M. Nasir pernah menghimpunkan barisan vokalis lelaki tersohor seperti Datuk Amy Search, Datuk Jamal Abdillah, Zamani dan Allahyarham Saleem.
Sementara itu, Cinta Di Akhir Garisan pula menjadi antara karya duet wanita paling diingati apabila dibawakan Ning Baizura, Ziana Zain, Datuk Nora dan penyanyi Indonesia, Dessy Fitri.
“Bersama reputasi dimiliki kedua-dua lagu tersebut, tugas untuk menghasilkan versi baharu bukan mudah kerana peminat akan buat perbandingan dengan versi asal.
Saya anggap ini semua cabaran bagi memastikan karya-karya berkualiti terus relevan merentasi generasi serta tiada batas masa,” katanya.
Projek mega
Pada majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Hasan berkata, projek rakaman semula lagu popular tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang yang bakal dilaksanakan bersama Ajai selaku penasihat Usanita Entertainment.
“Selepas Diari Air Mata, kita ada lagi projek akan datang yang sangat istimewa membabitkan lagu lama yang diberikan nafas baharu dan mendapat susunan muzik sepenuhnya oleh Ajai.
“Kami juga sudah memperincikan sebuah lagi projek istimewa yang akan menghimpunkan empat penyanyi lelaki menerusi rakaman semula Isabella 98.
Kerjasama bersama Ajai ini sebagai gabungan strategik kerana dia faham hala tuju serta identiti yang ingin diketengahkan Usanita Entertainment.
“Saya selesa bekerjasama dengan Ajai kerana dia memahami konsep dan kekuatan Usanita,” ujarnya.
Tidak terhenti setakat projek rakaman semula lagu, Usanita turut merancang memperluaskan lagi pengaruh dalam industri hiburan serantau.
Menurut Nana, syarikatnya bakal menerbitkan sebuah program realiti selain memperkenalkan bakat dari Indonesia yang kini sedang menjalani proses rakaman lagu runut bunyi bagi projek terbaharu UTV.
“Lagu itu akan digunakan sebagai runut bunyi bagi UTV Nusantara dan keseluruhan penggambaran video muzik akan dijalankan di Indonesia,” katanya.
Perkembangan itu juga memperlihatkan kesungguhan Usanita dalam membina jambatan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pertukaran bakat serta karya kreatif di rantau ini. – HIBGLAM
