‘Yang jahat lebih menonjol, penonton mudah ingat’

DALAM rimbun dunia seni penuh warna, tidak semua bunga harum memikat dengan kelembutan. Ada juga duri tajam yang mencengkam emosi, meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa penonton. 

Begitulah takdir dunia lakonan, seseorang artis tidak sekadar menjadi baik untuk disayangi, tetapi juga jahat untuk diingati.

Hakikatnya, karakter antagonis sering kali menjadi nadi kepada sesebuah naskhah. Tanpa watak jahat, jalan cerita terasa hambar, tidak berombak.

 Di situlah seni seorang pelakon diuji, sejauh mana mampu menghidupkan kebencian sehingga penonton benar-benar ‘terbakar’ emosi.

24 tahun mengukir nama di paksi seni, Dynas enggan memeluk kecewa meskipun sering disua watak jahat malah dia melihat sisi antagonis sebagai kanvas terbaik untuk menterjemahkan sisi lakonan yang lebih mencabar dan berlapis. 

Watak sebegitu disifatkannya lebih bernyawa, sarat dengan warna, dan memiliki kuasa magis untuk terus hidup dalam ingatan penonton

“Sebelum ini, saya berbual dengan pelakon Ezaidi Aziz. Dia mengadu sering diberikan watak jahat.

“Saya beritahu dia, perkara ini mudah sahaja. Kalau mahu jadi seperti saya, terima dan lalui sahaja semua watak diberikan kerana karakter jahat selalunya lebih menonjol dan mudah diingati penonton,” katanya kepada HibGlam

Tambah bintang drama Isteri Rahsia Ungku Jabbar itu, watak antagonis membuka ruang luas untuk pelakon meneroka emosi, teknik serta lapisan karakter secara lebih mendalam, sekali gus memperkukuh kredibiliti sebagai anak seni.

“Banyak perkara boleh dimainkan menerusi watak antagonis. Jika watak baik, lakonan kadangkala lebih mendatar dan biasanya berada di belakang watak jahat.

Sebagai pelakon, kita perlu bijak mengawal dan menghidupkan setiap karakter supaya penonton benar-benar percaya dengan apa yang dipersembahkan,” ujarnya.

Tidak hanya berkongsi pengalaman, Dynas turut menitip pesan kepada pelakon baharu agar tidak terlalu memilih watak pada peringkat awal pembabitan dalam industri seni.

Katanya, setiap peluang perlu diterima sebagai ruang belajar dan mengasah bakat sebelum melangkah lebih jauh.

Menyentuh naskhah terbaharunya, Dynas mengakui teruja apabila diberikan karakter berbeza menerusi watak Razia atau Kak Yan dalam drama bersiri Griya: Rahsia Seorang Lelaki terbitan Skop Productions.

“Sebaik menerima skrip, saya terus teruja kerana kebanyakan watak sebelum ini semuanya jahat.

“Dalam Griya, saya bukan watak jahat sepenuhnya, tetapi penonton mungkin akan sangka saya jahat. Kalau mahu tahu sebabnya, kena tonton drama ini,” jelasnya. 

Dalam masa sama, Dynas tidak menafikan keterujaan terhadap watak Razman lakonan Nazim Othman yang disifatkan memiliki sisi psikologi kompleks dan penuh teka-teki.

Griya: Rahsia Seorang Lelaki mengisahkan usaha seorang peguam, Sophia lakonan Chacha Maembong dan Detektif Liana lakonan Scha Alyahya membongkar misteri kehilangan isteri kedua kepada lelaki kaya serta berkarisma bernama Razman.

Drama bersiri yang bersiaran sebanyak 10 episod menerusi platform penstriman iQIYI dan Netflix tersebut menjanjikan pengalaman penuh debar, misteri dan emosi buat penonton.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok