ENTAHLAH. Dunia hiburan tempatan seperti terperangkap dalam putaran cerita sama. Hari ini kecoh, esok reda, lusa muncul episod baharu dengan plot serupa tetapi tak sama.
Drama curang, air mata, pendedahan dalam media sosial menjadi menu wajib setiap kali industri kehabisan cerita besar.
Minggu ini, kepanasan gelora anak seni dimarakkan kisah pelakon Fify Azmi. Tanpa desahan awal, wanita berusia 36 tahun itu mendedahkan dirinya menjadi mangsa pengkhianatan teman lelaki sendiri.
Pendedahan dibuat secara terbuka dalam media sosial, sekali gus mengundang perhatian ramai.
Ini peringatan bahawa pengkhianatan tidak semestinya datang daripada orang tidak dikenali, dan kesetiaan bukan sesuatu boleh dianggap pasti hanya kerana seseorang itu nampak baik atau alim,” katanya.
Lebih mengejutkan, Fify turut memuat naik tangkap layar perbualan dipercayai antara kekasihnya dengan seorang wanita lain iaitu pempengaruh asal Singapura, Sarah Yasmine.
Dari situ, terbongkarlah bibit kecurangan, siap ajak datang ke rumah, seolah-olah tiada rasa bersalah.
Selepas pendedahan dibuat, Fify memberi bayangan individu dimaksudkan sebagai ‘NZ’. Tidak mahu terus terikat, dia memilih haluan sendiri.
“Saya melangkah ke fasa baharu dengan lebih tenang, kuat dan penuh harga diri. Apa ditakdirkan akan datang dan apa pergi memang bukan untuk kekal,” ujarnya.
Susulan itu, nama pelakon Niezam Zaidi mula menjadi sebutan.
Ruangan komen media sosialnya dibanjiri sindiran netizen.
Bukan itu sahaja, beberapa jenama besar turut ‘menyelit’ sindiran sinis sambil mempromosikan produk masing-masing mengundang ‘dekah’ netizen.
Niezam pilih membisu. Tiada penjelasan, apatah lagi penafian. Diam seribu bahasa entah satu strategi klasik dalam dunia penuh spekulasi ataupun sudah habis akal untuk mencipta alasan.
Sementara itu, Sarah Yasmine seperti biasa, lagaknya orang ketiga.
“Tak perlu babitkan saya dalam hal ini. Kalau nak jatuhkan dia, tak perlu libatkan nama saya.
Saya dan dia hanya kawan. Saya hubungi Fify tetapi tiada respons. Saya juga marah, tetapi dia minta maaf kerana nama saya terlibat,” jelasnya.
Mengulas isu ‘cadar’ yang menjadi bahan sindiran netizen, Sarah menolak segala spekulasi.
“Tentang cadar itu memang tidak ada apa-apa. Dia ajak datang bersama rakan lain. Orang tambah cerita tidak benar. Jangan terlalu cepat membuat spekulasi,” jelasnya.
Namun seperti biasa, penjelasan sering tenggelam dalam lautan persepsi. Netizen sudah punya skrip sendiri.
Kebarangkalian episod tersebut bersambung masih terhampar. Daripada isu curang ke pendedahan, tuduh-menuduh, kemudian masuk pula watak sampingan, semua lengkap seperti sinetron ratusan episod, penuh plot ‘twist’, tetapi penamat entah bila.
Ironinya, kesetiaan sering menjadi eksperimen, manakala maruah dijadikan taruhan. Yang benar belum tentu menang, diam pula bukan bererti salah.
Moga kisah ini menjadi pengajaran. Jangan terlalu cepat percaya atau mudah memberi hati. Kalau boleh, cukup-cukuplah. Industri ini tidak kekurangan bakat, cuma terlebih drama. Khalayak bukan lagi terhibur, sebaliknya keletihan menonton cerita sama berulang kali.
