‘Rasa bersalah kecederaan melibatkan mata, dia pula wanita’ 

DUNIA lakonan sering tampak indah dari luar, namun di sebalik lensa kamera, ada detik getir yang tidak terjangka.
Itulah realiti dilalui pelakon Nazim Othman apabila satu babak penuh emosi bertukar menjadi pengalaman mencemaskan.

Segalanya bermula ketika penggambaran drama bersiri Griya berlangsung dalam suasana tegang dan intens.

Babak bergelut yang menuntut penghayatan tinggi hampir mengundang tragedi apabila gerakan spontan tersasar, lalu mencetuskan insiden tidak diingini.

Nazim berkata, saat menjayakan adegan mengasari watak lakonan Nia Atasha, pergerakan kamera jenis handheld menyebabkan kedudukan mereka berubah sedikit, sebelum jarinya secara tidak sengaja terkena mata pelakon wanita tersebut.

“Ada satu insiden yang buat saya benar-benar cemas. Babak itu memerlukan saya mengasari Nia dan kami sedang mencari sudut kamera.

Tiba-tiba posisi berubah sedikit dan jari saya tercucuk mata dia. Allahuakhbar, ketika itu saya terus diserang rasa cemas,” katanya kepada HibGlam.

Menurutnya, detik tersebut bukan sahaja mengejutkan, malah membuatkan dirinya dibelenggu rasa bersalah yang mendalam memandangkan mata merupakan organ tubuh paling sensitif.

Walaupun sekadar lakonan tetapi bila terkena betul, memang rasa bersalah. Saya sangat takut sebab melibatkan mata, tambahan pula dia seorang wanita.

“Rasa bersalah itu sangat kuat, sampai saya sendiri tidak mampu bertenang,” ujarnya.

Akibat insiden itu, penggambaran terpaksa dihentikan seketika bagi memberi ruang kepada Nazim mengawal emosi sebelum kembali ke set.

Kami berhenti seketika sekitar 10 hingga 15 minit sebab saya memang tidak boleh tenang. Walaupun Nia kata dia okey dan kekal profesional, saya tetap rasa bersalah sangat.

“Lucunya, dia pula yang cuba menenangkan saya ketika itu, sedangkan saya yang menggigil,” katanya.

Mengakui dunia lakonan bukan asing dengan risiko, Nazim berkata, kecederaan kecil seperti calar dan lebam sering menjadi ‘teman setia’, terutama dalam babak fizikal.

“Ada juga kesan calar di lengan. Tapi itu semua biasa, sekadar kenangan manja. ‘Calar di lengan, kenangan ‘manja’ dengan Nia Atasha’

“Ini semua ‘hasil’ babak bersama Nia juga, kuku dia tajam,” selorohnya.

Selain Nazim dan Nia Atasha, Griya turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Scha Alyahya, Chacha Maembong dan Dynas Mokhtar.

Drama ini mengangkat kisah Sophia, seorang peguam yang bekerjasama dengan Detektif Liana bagi menyiasat duda kaya bernama Razman yang disyaki terlibat dalam kes kehilangan dua isterinya.

Dalam usaha mendapatkan bukti, Sophia mendekati Razman yang juga pelukis terkenal.

Ketika menetap di rumah agam Razman, Sophia mula jatuh hati sehingga terpaksa memilih antara keadilan atau cinta yang kian menebal terhadap jejaka penuh misteri itu. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok