‘Ada ‘benda’ ikut, merangkak nak tarik kaki saya’

MEMULAKAN karier sebagai pelakon teater, memberikan pembelajaran terbaik buat Khatijah Tan mengenai dunia seni.

Dari lantai pentas, aktres senior itu sering menjadi buruan pengarah dan penerbit untuk menjadi pemain dalam naskhah mereka.

Bakat lakonannya yang mahir melontarkan emosi sentiasa berjaya menyentuh hati penonton.

Memasuki era 2000-an, nama Khatijah berevolusi menjadi cukup sebati dengan naskhah bergenre seram, terutamanya dalam karya-karya arahan anaknya sendiri, Pierre Andre.

Bagaimanapun, pelakon berusia 65 tahun itu menegaskan bahawa personaliti asalnya amat berbeza dengan watak mistik yang sering digalas.

“Kalau ikutkan jiwa saya bukan seram sebab saya orang yang penakut.

Saya lebih kepada komedi sebab saya bermula dengan Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

“Tapi malangnya bila dah terbabit dengan banyak filem watak seram. Jarang saya dapat komedi,” katanya membuka bicara.

SEPANJANG pengalaman berlakon filem seram, Khatijah menyifatkan karya terbaharu, Nar’Sata: Sekutu Setan sebagai naskhah seram paling ekstrem pernah dijayakannya. – AFIQ RAZALI

Namun, dia mengakui tidak dapat menolak tawaran melakonkan naskhah bergenre seram kerana mahu mencabar diri.

“Masalah saya bila orang panggil buat watak seram, saya suka cabar diri.

Saya tak boleh dengar bila ada orang cakap watak ditawarkan seronok. Saya jadi teruja.

“Meskipun saya tahu susah nak bawa tapi saya sanggup kaji watak tersebut,” katanya lagi.

Di sebalik komitmen tinggi yang diberikan, pelakon filem Jangan Pandang Belakang itu mendedahkan sering menjadi mangsa gangguan mistik akibat watak yang dibawa.

“Tapi sebenarnya lepas itu ada kesan pada diri sendiri. Saya sebenarnya dalam filem seram banyak ‘kena’ (gangguan mistik).

Saya sampai dah tak larat. Kadang-kadang bila kita berlakon pakai mantera betul, bila balik memang dia ikut.

“Paling teruk di rumah saya dapat rasakan dia tengah merangkak nak tarik kaki saya,” kongsinya.

Berkongsi lanjut, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-46 itu mengakui pengalamannya menerajui naskhah terbaharu berjudul Nar’Sata: Sekutu Setan merupakan fasa paling ekstrem.

“Malah dalam Nar’Sata: Sekutu Setan paling teruk saya kena. Bayangkan saya kena bawa watak syaitan, dia akan baca mantera kuno.

Maknanya setiap kali saya tak boleh lupakan mantera itu sebab kena hafal. Bila dah banyak kali baca dan menghayati, benda itu dah sebati dalam badan saya.

“Bila tengah solek pun saya dah kena ganggu. Sampaikan jurusolek panggil saya sebab dia takut.

“Selepas itu saya duduk di set seorang diri, mula rasa belakang saya berat.

“Padahal relaks saja, baju tak tebal pun tapi benda itu dah masuk,” jelasnya.

PERCAYAkan kewujudan alam ghaib, Khatijah mengakui gangguan mistik yang dilaluinya menguatkan diri untuk semakin dekat dan mengingati Tuhan.

Sedar akan tanggungjawab terhadap produksi, dia terpaksa menahan penderitaan tersebut sehinggalah proses penggambaran selesai sepenuhnya.

“Tapi saya tak boleh buang benda itu masa tengah penggambaran sebab tak nak jadi bersih.

“Saya biarkan sampai habis penggambaran. Balik baru bersihkan tapi Narsata susah nak buang.

Kalau kena gangguan kita jadi cepat baran. Benda sikit pun nak marah, suami saya selalu jadi mangsa,” ujarnya.

Selain itu, dia juga sering diganggu di kediamannya apabila sering dihantui bunyi cakar dan suara misteri.

“Rumah saya kadang-kadang bunyi cakar tapi saya positif saja. Kadang-kadang bunyi orang bagi salam.

Saya dalam rumah akan duduk dalam bilik sehingga suami saya balik dari masjid atau surau.

“Benda macam ini tak akan ganggu awak bila ada kawan sebab kita tak fokus.

“Bila kita seorang, sunyi kita akan fokus dengan bunyi. Tapi saya tak layan, kalau layan, dia lagi suka,” jelasnya.

Khatijah tidak menafikan pelakon bergenre seram mempunyai risiko yang sangat tinggi kerana tugas tersebut menuntut mereka bermain dengan jiwa dan emosi.

Akibat sering diganggu, Khatijah sering mengamalkan zikir sebelum tidur agar dihindari daripada mimpi ngeri.

“Saya tak boleh tidur, kalau tidak berzikir setiap malam sebab dia akan ganggu saya dalam mimpi yang sangat menakutkan.

“Baru-baru ini saya mimpi kena ikat, sampaikan saya mimpi macam kena rasuk.

“Paling seronok adalah selawat nabi sampai tertidur. Sebenarnya susah nak tidur sebab dia ganggu, macam ada bisikan,” kongsinya.

Memandang segalanya ke arah positif, ibu kepada pelakon Pierre Andre dan Mikail Andre itu mengakui perkara tersebut sedikit sebanyak mendorong dirinya mengingati Allah setiap masa.

“Tapi secara tak langsung bagi saya bagus juga sebab dia menguatkan saya untuk berzikir, mengingatkan kepada kebesaran Allah.

Setiap orang ada jihad, kena berlawan dengan nafsu bersekongkol dengan iblis,” luahnya.

Sebelum menutup bicara, Khatijah tidak menafikan pelakon bergenre seram mempunyai risiko yang sangat tinggi kerana tugas tersebut menuntut mereka bermain dengan jiwa dan emosi.

“Sebagai pelakon genre seram, memang sangat berisiko bukan saya saja, pelakon lain di luar negara pun banyak kena.

Kita kan manusia, bermain dengan emosi dan jiwa. Bila benda halus ini, dia akan masuk dari situ.

“Dia serap tenaga kita. Kadang-kadang kita sakit sendi,” tutupnya. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok