‘Saya fikir 5 kali, baca, tulis, edit, padam sebelum post’

AKTIF dalam media sosial terutama platform Threads, pelakon Che Puan Sarimah Ibrahim sebenarnya sangat berhati-hati sebelum memuat naik sebarang hantaran.

Mendedahkan turut gemar memberi respons kepada ciapan pengguna lain, pelakon juga penyanyi itu menggunakan pendekatan tersendiri sebelum menekan butang kiriman.

Akuinya, amalan kendiri yang dipraktikkan dapat mengelakkan ‘tergelincir’ terutama tatkala berkongsi ciapan atau membalas komen dalam keadaan diri sedang emosi.

Kebiasaannya saya akan berfikir lima kali, menulis, membaca semula, memadam, menyimpannya dalam draf, menulis lagi, menyunting semula sebelum akhirnya menyimpan sahaja draf.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan kita dalam situasi marah atau tidak puas hati terhadap hal dibangkitkan. Kita tidak boleh bertindak mengikut perasaan apabila menggunakan Threads.

Keterlanjuran perkataan berbahaya kerana kata-kata yang ditulis tidak boleh ditarik balik dan boleh muncul di mana-mana sahaja.’

“Tempoh untuk menyunting pula hanya ada beberapa saat atau sekitar 15 minit sahaja.

“Jadi saya praktikkan baca berulang kali kerana saya enggan kata-kata saya boleh mengguris hati,” katanya kepada HibGlam.

Unsur toksik

Berkenaan unsur toksik yang didakwa bersarang dalam laman maya, tegas Sarimah situasi berkenaan wujud di mana-mana termasuk komunikasi secara bersemuka.

“Unsur toksik ada dalam segala-galanya malah perhubungan bersemuka sesama manusia pun ada sisi negatif serta positifnya.

Bagi saya, kita sendiri kena sesuaikan diri dalam ‘rumah’ itu. Kalau mahu menjadi lebih eksklusif boleh sahaja mengelakkan diri daripada menggunakan Threads. Terpulang kepada keputusan masing-masing.

“Apa pun, tidak kira di mana-mana platform, kita terdedah kepada sebarang kemungkinan. Bagi diri saya, untuk menghindari Threads atas dakwaan platform ini sarat toksik, mungkin tidak,” ujarnya.

Bintang berdarah campuran Melayu- Ireland itu berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan segelintir selebriti yang menghindari Threads atas alasan wujudnya elemen negatif.

Pada masa sama, selebriti ramah itu turut menafikan konon ada hantaran dimuat naik mempunyai maksud tersirat.

Tegas Sarimah, dia seorang individu yang suka berterus-terang, sekali gus ciapan didakwa punya maksud berlapis bukan menunjukkan sisi dirinya.

Apa itu maksud tersirat? Saya tidak pernah mempunyai sebarang maksud berlapis dalam hantaran saya kerana saya akan menzahirkan pandangan secara langsung.

“Bagi saya setiap orang mempunyai interpretasi masing-masing kerana tulisan tiada intonasi seperti bercakap. Mungkin bacaan seseorang memberikan konotasi berbeza,” jelasnya. – HIBGLAM

Sarimah Ibrahim mengakui berhati-hati sebelum memuat naik sebarang hantaran
dalam media sosial sebagai amalan kendiri.
– Syakir Radin

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok