BIARPUN harus menunggu selama 40 tahun untuk mengadakan sebuah konsert solo, penyanyi Fauziah Latiff sebak bercampur syukur impian yang selama tidak pernah terjangka akhirnya menjadi realiti apabila Konsert 4 Decades Fauziah Latiff Live In Kuala Lumpur berlangsung dalam skala mega di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menurut Fauziah atau lebih mesra dengan panggilan Jee ini, konsert tersebut sebagai hadiah untuk membalas jasa peminat yang menyokongnya selama empat dekad bergelar anak seni.
“Terima kasih kepada Ideatelier (penganjur) kerana merealisasikan impian ini. Konsert ini adalah untuk anda.
Saya akan cuba buat yang terbaik malam ini (semalam). Ia mungkin tidak sempurna, tetapi saya harap akan jadi konsert yang diingati untuk kita semua,” katanya.
Tambahnya lagi, konsert semalam adalah permulaan yang baik untuknya terlibat dengan lebih banyak persembahan pentas selepas ini.
‘Malam ini adalah satu permulaan untuk saya, terima kasih atas sokongan semua,” katanya sebak secara menahan emosi.
Dalam konsert yang berlangsung selama lebih dua jam itu, Fauziah membuktikan ketika keupayaannya tidak seperti zaman kegemilangan, dia tetap membuai jiwa menghiburkan hampir 3000 peminatnya dengan rangkaian lagu hits sepanjang empat dekad kariernya.
Antara lagu yang didendangkan adalah Setiaku Korbankan, Tua Mengejar Kita, Apa Sebenarnya, Enggan, Dia, Batas Menanti, Gubahan Rindu Puisi Syahdu dan Teratai Layu Di Tasik Madu.
Fauziah turut menyampaikan lagu duet bersama penyanyi jemputan iaitu Datuk Jamal Abdullah menerusi lagu Kehebatan Cinta.
Pada usia 56 tahun, Fauziah atau nama lengkapnya Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff berjaya menyampaikan lagu-lagunya yang panjang dan bernada tinggi secara penuh tanpa menghulurkan mikrofon kepada penonton.
Sempat dia bergurau selepas selesai menyampaikan lagu Enggan yang disifatkannya sebagai lagu paling sukar dan lagu paling panjang.
Lagu ini lagu bunuh diri. Lagu paling saya takut sedunia. Tetapi hari ini (semalam) saya tiada pilihan. Kata Ezuwan (penganjur), kak jangan enggan kak,” kongsinya.
Hampir kesemua penonton hadir mengikut tema pakaian warna putih tanda sokongan setia buat Fauziah.
Antara rakan selebriti yang dilihat hadir bagi memberi sokongan termasuklah, Ziana Zain, Rozita Che Wan, Liza Hanim, Faradhiya, Amylea dan Azah Aziz. – HIBGLAM
