ENGGAN menyusahkan kru dan pelakon lain, Nicole Kidman sanggup kembali ke set penggambaran sebuah siri televisyen walaupun sebelum itu dia dikejarkan ke hospital akibat demam selesema.
Aktres berusia berusia 58 tahun yang ketika itu membintangi drama bersiri Margo’s Got Money Troubles dilaporkan tetap bertegas mahu menyelesaikan babak terakhir bagi siri berkenaan.
Difahamkan, adegan tersebut membabitkan kehadiran ratusan pelakon tambahan dan Kidman enggan menyusahkan produksi.
Sumber memaklumkan Kidman dibawa ke hospital pada pukul 8 pagi, namun tiga jam kemudian dia berkeras mahu menyambung penggambaran yang dijadualkan selesai hari itu.
Dia datang dalam keadaan pucat dan kurang bermaya tetapi mampu menyempurnakan semua adegan dengan baik. Dia benar-benar hebat,” ulas sumber.
Komitmen dan kesungguhan Kidman meraih pujian ramai terutama tenaga kerja produksi yang sebak kerana dia sanggup mengetepikan kesihatan diri demi memudahkan urusan semua individu yang terlibat dengan penggambaran itu. – HIBGLAM
