Sel darah sangat rendah, ada beberapa kemungkinan menakutkan – Qadejah

PENYANYI Qadejah El Zahra dilaporkan menjalani pemeriksaan lanjut di sebuah hospital selepas mengalami kesukaran bernafas dan ketidakselesaan di bahagian dada.

Menurut anak usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri itu, hasil pemeriksaan mendapati dia mengalami masalah sel darah serta tahap platelet rendah.

“Rasa sangat ketat dan tidak selesa di bahagian dada.

Tapi selepas doktor periksa, rupanya sel darah saya sangat rendah dan platelet pun sangat rendah,” katanya dalam sebuah video Instagram.

Pada masa sama, penyanyi berusia 16 tahun itu tidak menolak beberapa kemungkinan risiko penyakit tertentu tetapi memilih untuk terus optimis terhadap sebarang keputusan diagnosis.

“Ada beberapa kemungkinan yang agak menakutkan, tapi kita kena kekal positif sebab setiap penyakit ada rawatannya.

Jadi mungkin saya ada penyakit autoimun seperti lupus atau mungkin hanya jangkitan biasa.

“Saya harap hanya di tahap rendah,” ujarnya lagi.

Sementara itu, ibunya Datin Seri Nur Shahida memaklumkan kejadian tersebut berlaku secara mengejut sehingga terpaksa membawa anak perempuannya ke hospital dengan segera.

“Qadejah mengadu sakit dada malam tadi, nak bernafas pun susah.

Mama kalau anak sakit memang tak tunggu-tunggu, hati terus risau fikir macam-macam.

“Sampai hospital doktor buat pemeriksaan darah dan dapati platelet dia sangat rendah.

Dah tiga kali ambil darah, platelet masih rendah. Memang risau mama dibuatnya,” katanya.

Dalam kesempatan itu, dia berharap orang ramai mendoakan anaknya agak diberi kesembuhan.

Minta doa semua supaya Qadejah cepat sembuh dan dijauhkan daripada penyakit yang tak sepatutnya.

“Hati mak ini lain macam bila anak sakit,” luahnya.

Untuk rekod, tahun lalu Qadejah pernah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan akibat jangkitan bakteria daripada kucing. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok