PERNAH mencetuskan fenomena menerusi lagu Casablanca, penyanyi Nuha Bahrin kembali ingin ‘berkepak’ bersama single terbaharu berjudul Malam-Malam.
Kali ini pemilik nama lengkap Nuha Sakina Saiful Bahrin, 25, itu memilih untuk kembali berkolaborasi dengan komposer berpengalaman, Ezra Kong.
“Ini kali kedua saya bekerjasama dengan Ezra Kong. Proses ini sangat membuka ruang untuk saya meneroka perkara baharu dan belajar untuk keluar dari zon selesa.
Gabungan bunyi dalam lagu ini sangat berani. Saya rasa amat berbesar hati dapat menjadi suara bagi karya yang cukup indah ini,” ungkapnya dengan nada teruja.
Menerusi projek kreatif terbaharunya yang dikenali sebagai mimpi, mereka bereksperimentasi dengan berani apabila menggabungkan elemen bunyian Arab dan Sepanyol.
Katanya, kerja susunan muzik dengan bunyi-bunyian pop Melayu moden menjadikan Malam-Malam sebuah pengalaman audio yang mampu memikat jiwa.
Nuha berkata, lagu berkenaan berkisar kerinduan terhadap seseorang, namun kini semuanya tinggal kenangan.

MENERUSI projek kreatif terbaharunya yang dikenali sebagai mimpi, Nuha bereksperimentasi dengan menggabungkan elemen bunyi Arab dan Sepanyol.
Versi lalu
Pada masa sama, tambahnya karya berkenaan secara peribadi mengimbau situasi dirinya suatu masa lalu.
“Lagu ini mengingatkan versi saya yang dahulu. Waktu malam membuatkan saya teringat kenangan lalu serta rasa rindu kepada diri sendiri, individu yang lebih yakin.
Kadangkala kita lupa untuk tidak terlalu peduli dengan pandangan orang. Saya juga sangat merindui perasaan itu,” katanya.
Menyifatkan bulan sebagai simbolik kepada detik waktu yang tidak dapat diulang, baginya lagu berkenaan mempunyai rasa tersendiri.
Bulan bukan sekadar unsur visual atau simbol romantik semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai lambang kepada masa iaitu saat berlalu tidak mungkin diulang kembali,” ujarnya.
Nuha turut berharap agar Malam-Malam dapat menemani pendengar yang sedang melalui fasa kesunyian atau merindui insan tersayang.
Melengkapkan lagi visual kerinduan, muzik video Malam-Malam juga diberi sentuhan yang mampu memancing fokus penonton.
Lagu terbitan Universal Music Malaysia tersebut sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 24 April lalu. – HIBGLAM
