Lima bintang Kimchi cakap bahasa Inggeris tak ‘berhabuk’

GELOMBANG K-Pop bukan sekadar muzik, malah menjadi jambatan budaya merentas benua. Dalam dunia serba pantas ini, penguasaan bahasa Inggeris muncul sebagai senjata penting buat artis Korea menembusi pasaran antarabangsa.

Bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan. Dari pentas konsert hingga temu bual global, kemampuan berkomunikasi membuka lebih banyak pintu peluang serta mendekatkan artis dengan peminat seluruh dunia.

Menariknya, setiap selebriti memiliki perjalanan berbeza dalam menguasai bahasa kedua tersebut. Ada lahir sebagai penutur jati, ada pula mengasah kemahiran melalui usaha gigih tanpa henti.

Kimchi Panas minggu ini menampil deretan bintang Korea fasih berbahasa Inggeris, sekali gus mengukuhkan pengaruh mereka di pentas global.

  • Ailee 

Dilahirkan di Amerika Syarikat, penyanyi Ailee membesar dalam persekitaran berbahasa Inggeris sebelum menakluk industri muzik Korea.

Bahasa Inggeris menjadi nadi komunikasi harian, sekali gus memudahkan dirinya menembusi pasaran global dengan penuh yakin.

Latar pendidikan di New Jersey membentuk keyakinan luar biasa ketika berinteraksi dengan peminat antarabangsa.

Dalam satu temu bual, pelantun lagu I Will Show You itu berkongsi membesar sebagai warga Korea-Amerika kadang-kala mengelirukan, namun kini menghargai kemampuan menyerap budaya terbaik daripada kedua-dua negara.

Tidak hairan, setiap penampilan bintang berusia 36 tahun itu di pentas sangat yakin, bertenaga dan penuh karisma.

  • Lee Byung-hun

Bintang tersohor ini membuktikan usaha mampu mengatasi batas bahasa. Tidak menetap lama di luar negara, beliau mengasah kemahiran berbahasa Inggeris melalui pembelajaran intensif.

Keupayaan tersebut membuka laluan ke Hollywood menerusi filem G.I. Joe: The Rise of Cobra dan The Magnificent Seven.

Aktor berusia 55 tahun itu turut menguasai bahasa Perancis dan Mandarin, menambah nilai sebagai pelakon global.

Karismanya dalam siri Squid Game membuktikan penguasaan bahasa mampu mengangkat kredibiliti ke tahap lebih tinggi.

  • Rose

Dilahirkan di New Zealand dan dibesarkan di Australia, Rose fasih bertutur bahasa Inggeris dengan loghat Aussie yang unik.

Latar pendidikan di Melbourne membentuk penguasaan bahasa yang mantap serta gaya pertuturan santai.

Sebagai anggota BLACKPINK, idola berusia 29 tahun itu sering menjadi jurucakap utama ketika temu bual antarabangsa.

Kemampuan menulis lirik dalam bahasa Inggeris menerusi lagu hitsnya On The Ground dan Gone turut memberi kelebihan besar, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon global.

  • Choi Si-won

Anggota Super Junior ini dikenali sebagai figura global dengan penguasaan bahasa Inggeris mengagumkan.

Dorongan untuk memperluas kerjaya antarabangsa menjadi pencetus utama idola berusia 40 tahun itu mempelajari bahasa tersebut secara serius.

Selain itu, Si-won fasih berbahasa Mandarin, menjadikannya antara artis paling versatil dalam industri.

Peranan sebagai duta antarabangsa turut memperlihatkan keupayaannya bertutur dengan penuh yakin  di pentas global.

  • Rain

Ikon K-pop, Rain menjadi simbol kerja keras tanpa kompromi. Ketika menerima tawaran filem Ninja Assassin pada 2008, si tampan itu masih belum fasih berbahasa Inggeris.

Pun begitu, disiplin luar biasa mendorongnya berlatih setiap hari, termasuk bercakap sendirian di tempat awam demi meningkatkan tahap penguasaan. 

Usaha tersebut membuahkan hasil apabila penghibur berusia 43 tahun itu berjaya mencuri perhatian Hollywood serta memenangi anugerah antarabangsa iaitu Biggest Badass di MTV Movie Awards 2010.

Kendatipun fokus utamanya menguasai bahasa Inggeris untuk pasaran Barat, pelantun lagu Magnetic itu juga membintangi beberapa drama dan filem di China yang memerlukannya mempelajari asas bahasa Mandarin.

Perjalanan Rain membuktikan tiada kejayaan tanpa pengorbanan dan ketekunan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok