PELAKON Norish Karman masih berada dalam fasa pemulihan selepas mengalami masalah kesihatan serius iaitu paras darah dan zat besi yang terlalu rendah (extreme low blood and iron) yang dihidapi sejak dua tahun yang lalu.
Menurut Norish, 52, badannya masih belum sihat sepenuhnya ketika ini disebabkan masalah kesihatannya.
“Badan masih sakit-sakit, maklumlah darah dan zat besi sudah masuk selepas lama tiada dalam badan.
Dua hari demam, sejuk panas. Masih perlahan-lahan untuk sembuh.
“Setiap hari hidup aku makan dan minum segala herba-herba terbaik,” katanya dalam platform Threads.
Dalam pada itu, Norish yang cukup dikenali menerusi drama Spa Q juga masih memerlukan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan harian.
Saya perlukan kerusi roda untuk bergerak sebab masih lemah dan perlahan.
“Jadi, anak-anak gembira tolak sana sini.
“Doakan saya segera sembuh ya geng-geng disayangi Allah SWT,” katanya lagi.
Pada 9 April lalu, anak perempuannya, Hany Amanda memaklumkan Norish berada dalam keadaan membimbangkan dan dikategorikan sebagai pesakit berisiko tinggi selepas dimasukkan ke sebuah hospital.
Manda menjelaskan, punca sebenar ibunya dikejarkan ke hospital adalah disebabkan paras hemoglobin dan zat besi yang berada pada tahap sangat kritikal.
Norish juga dalam proses pemulihan dan memerlukan kerusi roda agar tidak memberi tekanan pada tulang belakangnya. – HIBGLAM
