MENEGASKAN hanya akrab sebagai kawan, pelakon Hariz Hamdan mengakui menitipkan doa untuk aktivis kemanusiaan, Hazwani Helmi agar pelayaran bersama Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dipermudahkan.
Hariz atau nama lengkapnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 24, berkata nota yang dihasilkan juga disertakan dengan ucapan hari lahir kepada pelakon itu.
“Waktu hari jadi dia, saya ada hantar satu nota. Dalam nota itu, saya ucapkan ‘Happy Birthday’ (Selamat Hari Jadi) dan ‘wish’ (semoga berjaya) dia sertai Sumud.
“Kalau pernah tengok di TikTok saya sebelum ini, saya rasa semua peminat pun tahu saya ada muat naik nota buatnya sebagai penyuntik semangat,” katanya ketika ditemui pada majlis Macam-Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment, baru-baru ini.
Menyedari isu penyertaan wanita ke Gaza menerusi jalan laut itu dipersoalkan sesetengah pihak, Hariz menyifatkan peserta gerakan kemanusiaan itu mempunyai matlamat tersendiri.
“Mungkin saya tidak tahu niat sebenar dia ke sana untuk berjihad dan sebagainya kerana hanya Allah SWT yang lebih mengetahui. Saya tahu ada pihak. Banyak juga konflik dan salah faham.
“Sebagai kawan, apa yang saya boleh nasihat padanya ialah untuk dia terus kuat dan buat apa yang dia rasakan betul.
“Apa pun yang orang cakap mungkin dia boleh ambil sebagai iktibar. Tapi niat baik untuk menolong warga Gaza itu adalah antara kita dengan tuhan,” ujarnya.
Mengenai hantaran di Threads berkenaan ciri wanita idaman, akuinya terpulang kepada netizen untuk membuat andaian rambang apabila mengaitkannya dengan adik kepada penyanyi, Heliza Helmi itu.
“Saya buat ‘posting’ mengenai ciri-ciri wanita idaman di Threads itu adalah secara umum dan ada orang cakap ditujukan kepada Hazwani.
“Sebenarnya bukan spesifik untuk wanita tertentu tetapi biarlah orang tertanya-tanya sebab saya dan Hazwani hanya berkawan.
‘Insya-Allah, kalau saya ada calon (isteri) pada masa depan, selain berhijab, itulah ciri-ciri karakter wanita idaman yang saya mahukan,”katanya.
Keakraban pelakon drama Single Terlalu Lama itu dengan Hazwani sejak tahun lalu selepas mereka kerap berkongsi foto bersama-sama. – HIBGLAM
