TERUS-menerus menganjurkan konsert Datuk M. Nasir, penganjur yang juga pemilik Icon Entertainment, Iman Tang mengakui dia belum puas memerah keringat penyanyi dan komposer tersohor itu di atas pentas.
Memasuki siri keempat, Icon Entertainment sekali lagi membawakan konsert Dato’ M.N47ir Cipta 4 yang akan berlangsung di Unifi Arena Bukit Jalil, 4 Julai 2026.
Menariknya, pengumuman konsert itu dibuat menerusi satu sidang media khas di dalam tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ketika perjalanan dari Stesen Kuala Lumpur menuju Stesen Ipoh, Perak.
Tak puas perah
Menurut Iman, sebagai seorang penganjur konsert dan peminat M. Nasir, dia masih belum puas melihat idolanya beraksi.
“M. Nasir mempunyai kira-kira 3,000 lagu yang dicipta untuk diri sendiri dan didendangkan penyanyi lain.
“Apa yang saya boleh katakan, Konsert Cipta 4 ini juga bukan yang terakhir. Selepas ini kita akan ada macam-macam lagi perancangan. Banyak lagi yang saya nak perah.
“Kadang-kadang idea untuk melakukan sesuatu yang baharu itu tercetus bila kita duduk bersama.
“Contohnya macam Konsert Cipta Raya tahun lalu, selepas duduk bersorak selama lebih dua jam, tiba-tiba beliau kata ada 16 lagu raya. Jadi, dari situ tercetusnya idea untuk buat Konsert Cipta Raya,” katanya.
Bagi M. Nasir atau nama lengkapnya Mohamad Nasir Mohamed Sam, 69, beliau tidak akan pernah lelah untuk terus menghiburkan peminat selagi masih ada permintaan.
Selagi saya boleh digunakan, saya akan lakukan. Kalau dah tak boleh, kita fikir jalan lain pula,” ujarnya.
Ditanya bagaimana persiapan menjelang konsert, kata pelantun lagu Raikan Cinta itu, dia akan fokus kepada kesihatan dan persediaan dari segi fizikal dengan melakukan senaman ringan.
Melly Goeslaw
Demi mencipta kelainan, pihak penganjur mengundang penyanyi dan komposer tersohor dari Indonesia, Melly Goeslaw untuk sama-sama memeriahkan konsert kali ini.
Ujar Iman, gabungan dua gergasi muzik dari dua negara itu bakal mencipta sejarah tersendiri.
“Melly mempunyai lebih kurang 700 lagu ciptaannya yang kebanyakannya hit. Ini kali pertama dalam sejarah mereka berdua akan berkongsi pentas.
“Saya hubungi Melly beberapa minggu lalu dan dia terus bersetuju kerana dia sangat meminati karya-karya M. Nasir,” jelasnya.
Melly yang turut hadir ke sidang media berkata, mana mungkin dia melepaskan peluang keemasan untuk berada di atas pentas yang sama dengan idolanya itu.
“Satu kerugian besar jika saya tolak. Selain Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, M. Nasir pemuzik yang sangat saya kagumi dan hormati.
“Bagi saya, M. Nasir bukan sahaja penyanyi dan komposer hebat tetapi dia juga seorang pujangga. Lirik-lirik tulisannya mempunyai falsafah yang mendalam dan puitis. Lagu-lagu ciptaannya juga sangat popular di Indonesia seperti Isabella dan Fantasia Bulan Madu,” kongsinya.
Tambah Melly, dia sebelum ini berasa gerun melihat M. Nasir kerana personalitinya yang tidak banyak cakap.
“Dia kelihatan seperti seorang yang pendiam dan tidak ramah. Tetapi apabila berbicara dengannya, ternyata dia seorang yang kelakar,” kata Melly yang berharap kolaborasinya bersama M. Nasir menyatukan dua negara dalam arena muzik serantau.
Tiket konsert Dato’ M.N47ir Cipta 4 akan mula dijual pada 24 April ini menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my. – HIBGLAM
