PELAKON Azar Azmi terkejut apabila dimaklumkan aktres, Janna Nick mengenai mesej daripada individu mendakwa sebagai dirinya meminta bantuan untuk menjalani rawatan kanser.
Azar atau nama sebenar, Siti Azar Ameerah Azmi, 37, berkata, dia tidak tahu-menahu mengenai perkara tidak benar yang baru dimaklumkan kepadanya berkenaan penyakit tersebut.
“Saya tidak tahu mesej itu. Kanser? Saya cakap ada kanser dalam mesej tersebut? Sejak bila aku ada kanser?” katanya pada siaran langsung dengan usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri, semalam.
Menurut Janna yang menghubungi Aliff ketika siaran langsung itu, suatu waktu dahulu Azar pernah menghantar mesej beberapa kali kepadanya selepas lama menghilangkan diri.
Katanya, mesej tersebut menyatakan rakannya itu sedang menjalani rawatan kanser di sebuah pusat perubatan terkenal di Kuala Lumpur.
“Saya tak pasti apa yang jadi ketika itu dan saya juga tidak pasti sama ada mesej itu dari pihak dia (Azar) atau orang lain.
“Dia bagitahu dia dirawat di sebuah hospital selepas saya bertanya ke mana dia menghilang. Saya hampir mahu pergi ke hospital tersebut untuk pinjamkan duit.
“Saya terus hubungi dia tapi suaminya yang jawab panggilan tersebut. Saya terkejutlah sebab saya terus hubunginya dua saat selepas terima mesej tersebut,” ujarnya.
Akui Janna lagi, dia masih menyimpan mesej tersebut sebagai bukti namun mengambil pendekatan enggan memperbesarkan perkara itu.
“Saya masih ada lagi mesej tersebut dan simpan sebagai bukti. Selepas kejadian itu, dia pun tidak hubungi saya dan saya tidak mahu memberi tekanan kepadanya,” katanya.
Tambah pelakon drama Pinjaman Syurga itu, dia berharap orang ramai tidak terlalu cepat menghukum, sebaliknya memberi ruang kepada Azar terutama melibatkan isu kesihatan mental.
Terdahulu, pelakon drama Nur 2 itu menjadi perhatian apabila dia dan suaminya, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, direman serta didakwa di mahkamah atas kes berkaitan tanah kurniaan serta darjah kebesaran.
Bagaimanapun, Azar dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan bagi kes tersebut.
Pada prosiding Mac lalu, suaminya mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam dan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 56 tahun sehingga mangsa membuat pembayaran berjumlah RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang wanita berusia 35 tahun. – HIBGLAM
