NAMA Aliff Aziz tidak pernah sunyi daripada dihimpit kontroversi sejak awal pembabitannya dalam industri hiburan.
Episod paling mencabar dalam hidupnya berlaku dua tahun lalu apabila terpalit kes khalwat yang membawa kepada runtuhnya mahligai rumah tangga bersama Bella Astillah buat kali kedua pada Mac 2024.
Rentetan kecaman hebat yang diterima, pemilik nama lengkap Mohammad Aliff Aziz sebelum itu memilih untuk memencilkan diri dari radar media sosial.
Bagaimanapun, 2026 dilihat membawa sinar baharu buat penyanyi dan pelakon asal Singapura itu apabila dia kembali aktif dengan projek terbaharu di Malaysia.
Sempat bertemu, Aliff mengakui kini lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti sihat dan memperbaiki kerohanian diri demi mencari ketenangan hakiki.
“Saya banyak luangkan masa di gimnasium (gim), bersama keluarga dan fokus pada kerja. Selain itu, saya juga cuba dekatkan diri semula dengan agama.
Ini bukan saya nak berdakwah cuma itu yang buat saya rasa tenang sekarang. Saya sedar banyak kekurangan dalam diri saya, tak ada manusia yang sempurna,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas mengenai kecaman yang masih belum reda, pelantun lagu Kalau Cinta itu memilih untuk mempunyai pendirian sendiri bagi melindungi kesihatan mental daripada terus terganggu dengan kata-kata nista.
“Fasal komen atau kecaman orang, bohonglah kalau cakap tak nampak. Ada yang hantar DM (mesej), komen mengenai keluarga dan mak saya.
Tapi saya ada satu mindset (pemikiran), kita semua akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita buat.
“Saya hanya fokus untuk perbaiki diri sendiri,” ujarnya.
Malah, dia sentiasa memegang pesanan pendakwah bebas, Ustaz Wadi Anuar mengenai beratnya urusan kemaafan sesama manusia yang menjadi penggerak untuk dia memohon keampunan daripada pihak yang pernah disakitinya.
“Saya ada tengok perkongsian Ustaz Wadi Anuar. Beliau ada cakap, salah kita dengan Allah, insya-Allah mudah (mohon ampun).
Tapi kalau salah kita dengan manusia, Allah takkan maafkan selagi orang itu tak maafkan kita.
“Jadi saya fokus untuk perbaiki hubungan dengan orang yang saya pernah buat salah,” jelasnya.
Isu boikot
Ditanya mengenai isu boikot yang sering diperkatakan, penyanyi berusia 35 tahun itu menerimanya dengan hati yang terbuka dan menyifatkan segalanya adalah di bawah izin-Nya.
“Kalau betul boikot itu berlaku, itu bermakna Allah izin. Saya sedar banyak benda saya patut buat dengan lebih baik sebelum ini.
Tapi berapa lama saya nak duduk meratapi kesilapan lalu? Masa terus bergerak, saya kena bangun dan teruskan kehidupan.
“Kalau saya asyik fikir pendapat orang sampai tak boleh bangun, itu merugikan.
“Saya nak gerak ke hadapan dengan hati yang tenang, insya-Allah
Projek baharu
Sebagai bukti kebangkitannya, Aliff mendedahkan dia kini terlibat dalam projek drama terbaharu berjudul Madu Atau Racun terbitan MIG yang bakal menemui penonton Jun depan.
“Saya beraksi dalam drama terbaharu berjudul Madu Atau Racun dan akan keluar pada bulan Jun nanti, insya-Allah.
“Saya akan bergandingan dengan Uqasha Senrose, Elisya Sandha dan ramai lagi. Ini terbitan MIG,” kongsinya.
Dalam masa sama, dia turut memaklumkan masih aktif memenuhi undangan nyanyian bagi majlis-majlis perkahwinan.
“Saya masih aktif menyanyi, ada juga buat persembahan untuk majlis-majlis perkahwinan. Selagi ada rezeki, saya akan terus berkarya.
Saya percaya rezeki kita semua datang dari Allah SWT. Jadi, kalau ada peluang saya akan buat.
“Kalau tak ada, maknanya ada benda lain lebih baik,” ujarnya. – HIBGLAM
