GenKRU luar biasa, bakal diiktiraf Malaysia Book of Records

MELAKAR sejarah, Konsert GenKRU yang berlangsung selama empat hari di Axiata Arena Bukit Jalil bakal disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata, pihaknya akan mengumumkan perkara tersebut pada aksi terakhir trio bersaudara ikonik terbabit, malam ini.

“Sebenarnya perkara itu (MBOR) akan diumumkan malam esok (hari ini). Alhamdulillah Konsert GenKRU diiktiraf selain akan menerima dua pengiktirafan.

Ini adalah penghormatan besar. Kami tak sangka meraih sambutan sehebat ini. Selepas persembahan hari pertama dan kedua, laman web pembelian tiket konset KRU menerima kunjungan luar biasa.

“Daripada 93,000 pada sebelah petang, jumlah pengunjung melonjak kepada 169,000. Jadi kita buat keputusan tambah satu hari lagi menjadikan keseluruhannya empat persembahan,” katanya selepas konsert ketiga, malam tadi.

Sementara itu trio adik-beradik KRU, Datuk Norman Abd Halim, Datuk Yusry dan Edry mengakui tidak menyangka sambutan luar biasa peminat, sekali gus akur merealisasikan konsert hingga hari keempat.

Menurut Edry, mereka pada mulanya terkejut selain menyifatkan keputusan penganjur untuk menambah satu malam lagi sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.

Pada kami cukuplah tiga hari, tapi apabila Iman tunjukkan hampir 200,000 peminat masih mencari tiket di laman web, kami akur kerana enggan menghampakan penyokong tegar KRU.

“Jujur kami tidak pernah menjangkakan sambutan akan sehebat ini, kami jangkakan konsert ini akan diadakan satu malam saja tetapi rupanya berlanjutan sampai empat malam,” ujarnya.

Sementara itu Yusry pula berkata, apa yang mereka lakukan hanyalah semata-mata atas dasar sayang serta menghargai peminat.

Menurutnya, dia sendiri tidak mendapat kepuasan pada malam pertama konsert mereka 3 Mei lalu selepas hampir tujuh tahun KRU berehat.

Bagi saya selepas persembahan pertama, saya dah lepas gian. Persembahan malam ketiga dan keempat boleh kami katakan sebagai malam untuk meraikan penyokong KRU.

“Kami bersetuju untuk malam keempat pun demi mereka. Bila nampak penonton yang sangat ‘sporting’ malam ini, KRU bertambah semangat berikan yang terbaik,” katanya.

Bahkan mereka turut menzahirkan rasa terharu apabila ada peminat sanggup terbang dari Arab Saudi, Amerika Syarikat, United Kingdom, Filipina, Singapura dan Brunei untuk menikmati GenKRU.

Sementara itu, akui Iman konsert malam keempat lebih istimewa apabila bakal menampilkan kumpulan an, Feminin selain seorang lagi artis undangan yang dirahsiakan identitinya.

Iman pula memaklumkan, sambutan tiket pada aksi penutup turut luar biasa apabila lebih 75 peratus tempat duduk sudah ditempah sebelum nama Feminin diumumkan kelmarin.

GenKRU bukan sekadar persembahan muzik, bahkan sebagai penghormatan kepada legasi KRU serta penyanyi yang pernah bernaung di bawah syarikat mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok