BERHARAP ‘dilepaskan’ segera, Zehra Zambri berkeras enggan menggugurkan empat daripada lima tuntutan perceraian meskipun itu syarat ditetapkan suaminya, Nur Mohd. Iqwan Samsudin jika mahu bercerai.
Menurut Zehra, dia sanggup memperjuangkan haknya terutama berkaitan nafkah sekali gus terpaksa menjalani proses perceraian yang panjang daripada memenuhi permintaan lelaki terbabit.
“Dia (suami) ada letakkan syarat meminta saya pinda beberapa sebab tuntutan cerai, antaranya mengenai hal ehwal tuntutan nafkah dan sebagainya.
Tapi saya tidak bersetuju apabila dia mahu melepaskan saya dengan syarat saya tarik balik punca permohonan (cerai).
“Saya tak boleh terima perkara itu kerana saya ada justifikasi dan sebab memohon cerai,” katanya yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini.
Zehra hadir ke mahkamah bagi menghadiri sesi lantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dengan ditemani bapanya, Zambri Ahmad dan peguam, Abd. Muiz Samsuri.
Ibu kepada seorang anak itu memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya dengan mengemukakan lima sebab tuntutan antaranya tiada persefahaman, culas menjalankan tanggungjawab, sikap suami, pengabaian serta perkahwinan yang sudah tidak dapat diselamatkan.
Mahkamah kemudian menetapkan hari ini sebagai sesi lantikan JKP selepas Mohd. Iqwan enggan melafazkan cerai.
Namun proses perceraian penyanyi itu diteruskan ke satu lagi tarikh yang telah ditetapkan mahkamah apabila wakil suaminya gagal hadir ke sesi lantikan JKP hari ini. – HIBGLAM