SUAMI kepada penyanyi, Zehra Zambri, Nur Mohd. Iqwan Samsudin terpaksa menangguhkan niat melafazkan talak hari ini disebabkan isterinya itu dalam keadaan tidak suci.
Katanya, dia juga belum dapat memenuhi permintaan wanita terbabit enggan menggugurkan empat daripada lima tututan perceraian yang difailkan pada Mac lalu.
“Saya memang berhasrat nak melafazkan cerai kepada isteri pada hari ini, tetapi saya terpaksa tangguh disebabkan keadaan Zehra yang tidak suci selain dia enggan gugurkan empat tuntutan dalam permohonan perceraian yang dibuat.
“Antara butiran yang saya tidak bersetuju adalah mengenai tuduhan kekerasan. Tetapi hanya satu yang saya setuju kekalkan iaitu tiada kesefahaman dalam perkahwinan.
“Selagi dia tidak mengugurkan empat perkara itu, saya akan berjuang untuk terus membersihkan nama saya. Ini bukan hal kecil kerana melibatkan maruah,” katanya ketika ditemui pada prosiding pelantikan wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bangi, hari ini.
Begitupun, wakil JKP bagi pihak petugas stesen televisyen itu tidak dapat meghadirkan diri disebabkan hal kecemasan.
Susulan itu, mahkamah menetapkan 14 Mei sebagai tarikh baharu untuk Iqwan melantik wakilnya, manakala Zehra, 38, diwakili bapanya, Zambri Ahmad.
Menurutnya lagi, ketiadaan wakil JKP bukan sengaja untuk melambatkan proses mahkamah, memandangkan Zehra sendiri sudah melantik bapanya sebagai wakil pihak perempuan.
“Saya sudah maklumkan perkara itu kepada hakim sebentar tadi mengenai urusan kecemasan tentang wakil yang sepatutnya dilantik.
Jadi pada 14 Mei nanti saya akan bawa rakan baik saya yang menjadi tempat saya berkongsi cerita dan masalah sejak saya mendirikan rumah tangga dengan Zehra hampir tiga tahun lalu. Kawan saya lelaki bukan perempuan,” ujarnya.
Pada 10 April lalu, mahkamah memutuskan kedua-dua pihak untuk melantik wakil bagi proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Kemelut dalam perkahwinan mereka menjadi bualan selepas Zehra memfailkan perceraian dan mengemukakan empat tuntutan termasuk nafkah serta dakwaan kekerasan.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 11 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela yang kini berusia dua tahun setengah.
Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada 14 Oktober 2017, namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.
Iqwan juga pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata. – HIBGLAM