‘Dah berpenat lelah, takkan biar orang pandang rendah filem kita?’ 

PELAKON Amerul Affendi bersyukur apabila pihak pawagam kembali menayangkan filem 6 Jilake selepas gagal mematuhi arahan tayangan dua minggu menerusi Skim Wajib Tayang.

Amerul atau Mohd. Amerul Affendi Mohd Mawardi, 38, berkata, filem tersebut sepatutnya ditayangkan selama dua minggu namun ditarik semula dalam beberapa hari atas alasan jumlah penonton yang kurang.

“Sepatutnya filem di bawah Skim Wajib Tayang perlu ditayangkan selama dua minggu tetapi saya kecewa apabila pihak pawagam panggung sesuka hati menarik tayangan pada minggu pertama.

Perkara itu yang membuatkan saya bersuara dalam media sosial pada 1 Mei lalu sebab ramai yang bercuti mahu keluar menonton wayang tetapi slot tayangan tiada.

“Disebabkan itu, penonton kurang seterusnya membuatkan tayangan ditarik semula,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media drama Tonton Original: Bru di sini, semalam.

Kata Amerul, tindakannya bersuara tentang perkara tersebut memberi impak positif apabila ramai datang ke pawagam untuk menonton filem arahan Aziz M. Osman itu dan membuatkan pihak panggung wayang melanjutkan tempoh tayangan.

Memang terkilan tapi kita sendiri tak boleh salahkan mereka seratus peratus sebab ini adalah perniagaan. Perlu fahami bahagian mereka juga.

“Selepas saya suarakan hal tersebut, pihak pawagam beritahu mereka akan buka kembali tayangan sekiranya mendapat sambutan.

“Alhamdulillah berhasil, ramai yang datang menonton membuatkan pihak pawagam mahu lanjutkan tayangan sehingga hujung minggu,” ujarnya.

Dalam masa sama, bintang filem Terbaik Dari Langit itu turut memberi cadangan agar mewujudkan sebuah gerakan untuk mengajak rakyat negara ini menonton filem tempatan di pawagam.

Bukan itu sahaja, dia juga meminta golongan artis turut aktif berkempen untuk menarik lebih ramai penonton ke pawagam.

“Takkanlah kita sudah penat lelah buat sesebuah karya, kemudian biar orang lain memandang rendah filem sendiri? Jangan biar hanya satu pihak sahaja lakukan promosi.

Sebagai pelakon, kita semua perlu bantu penerbit dan rumah produksi sebab mereka sudah keluarkan duit untuk buat filem.

“Saya lakukan kempen tarik penonton ke pawagam sebab mahu bantu supaya mereka dapat kembali modal mereka sekali gus menjual karya tempatan kepada rakyat negara ini,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Amerul meluahkan rasa ketidakpuashatian terhadap pihak pawagam yang menarik slot tayangan 6 Jilake.

Selain Amerul, 6 Jilake turut dibintangi Bell Ngasri, Saiful Apek, Asmidar dan Datuk Fauziah Nawi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok