AKTOR Indonesia, Jefri Nichol mengakui dirinya lelaki paling bertuah kerana memiliki kekasih seperti Ameera Khan yang mempunyai pakej lengkap untuk dijadikan isteri.
Jefri, 26, tanpa berselindung menyatakan hasrat untuk memperisterikan Ameera atau nama sebenarnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 25, sebaik sahaja keadaan kewangannya stabil.
Kami sudah bersama sejak Januari. Saya ingin mengahwini Ameera. Dia memang mempunyai ciri-ciri seorang isteri dan saya memang ke arah itu.
“Kalau seseorang itu betul-betul jaga perasaan kita, bagi saya itu sudah lebih mencukupi.
Apatah lagi kalau dia sering ambil berat tentang kerja dan keluarga saya. Ameera sudah sejauh itu.
“Cuma sekarang menunggu duit sahaja” katanya menerusi video dalam TikTok.
Luahan jujur aktor filem Ali Topan itu sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang mengikuti perkembangan hubungan pasangan berkenaan.
“Kalau tak jadi kahwin, memang malu besar. Dah satu dunia tahu dah ni,” tulis seorang pengguna TikTok.
Comel sangat Jefri dengan Ameera ni. Harap-harap kekal sampai nikah,” kata seorang peminat.
“Lelaki yang berani luah hasrat kahwin ni memang ‘rare’. Semoga Jefri betul-betul serius, malulah kalau beria tiba-tiba putus,” ujar netizen.
Untuk rekod, hubungan cinta antara adik kepada selebriti popular, Neelofa dan Jefri pernah terputus sekitar Oktober 2021 selepas masing-masing tidak lagi saling mengikuti Instagram.
Namun pada penghujung Mac tahun lalu, hubungan mereka kembali bertaut dan sejak itu kedua-duanya dilihat lebih terbuka berkongsi momen mesra dalam media sosial.
Minggu lalu, pasangan ini sekali lagi menjadi perhatian apabila Ameera memuat naik foto terlebih mesra bersama Jefri ketika aktor itu berkunjung ke Kuala Lumpur hingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan netizen. – HIBGLAM