KRU, kumpulan pop legenda yang dianggotai tiga adik-beradik, Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim masih berjaya membuat peminat ‘menggila’ meskipun selepas tujuh tahun pembubaran dan tanpa sebarang lagu baharu.
Sebaik pengumuman mahu membikin Konsert GenKRU yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula 3 Mei ini, tiket ‘sold out’ tidak sampai 45 minit sehingga terpaksa ditambah menjadi tiga malam persembahan.
Melakukan konsert berskala besar untuk tiga malam persembahan adalah pencapaian terbesar sepanjang 33 tahun usia KRU.
Tidak terhenti di situ, KRU memberi kejutan tambahan apabila melancarkan album penuh terbaharu berjudul Kaset secara rasmi pada 25 April lalu.
Tahun 2025 bukanlah comeback KRU tetapi reunion sebab kami bukanlah penyanyi sepenuh masa. Muzik adalah minat kami, sebagai orang seni, konsert dan album adalah cara kami mengekspresikan kreativiti,” kata Edry.
Tambah Yusry, 2025 cukup istimewa memandangkan 33 tahun KRU menunggu untuk mengadakan konsert berskala besar.
“Banyak yang kami buat tahun ini adalah perkara yang kami tidak dapat lakukan dahulu. Contohnya, kami tidak pernah ada peluang buat konsert di Axiata Arena, tapi apabila dapat buat, sampai tiga hari pula (ketawa).
Kami juga tidak pernah dapat bajet yang besar untuk konsert. Sebab dahulu orang hendak keluarkan RM50 untuk tiket pun susah. Sekarang orang boleh banyak sampai RM500 atau lebih lagi.
“Peminat kami dahulu masih sekolah, sekarang sudah mampu beli tiket yang mahal jadi secara tidak langsung kami boleh beri sebuah konsert berkualiti,” ujar Yusry.

SELEPAS 13 tahun pembubaran, KRU kini muncul bukan dengan single baharu, sebalik sebuab album studio penuh dengan kerjasama Sony Music.
Ditebak tentang debaran, kata Norman mereka telah melakukan persiapan sehabis baik dan debaran akan terasa apabila berada di atas pentas nanti.
Kami bermula dengan hafal lirik, kemudian tarian kerana peminat masih mahu melihat klasik ‘move’ KRU dan sekarang memang semuanya telah bersedia,” luah Norman.
Menyentuh tentang album Kaset, semuanya bermula apabila Edry kembali ke Malaysia pada tahun lalu dan terjumpa demo-demo lama KRU yang tidak pernah digunakan.
Mendengar kembali lagu-lagu lama ciptaan mereka yang tidak pernah dikeluarkan mengembalikan nolstagia dan menerbitkan idea untuk menghasilkan sebuah album penuh buat peminat.
Sejujurnya, kami rancang mahu keluarkan sebuah single dengan video teknologi AI, tetapi alang-alang buat lagu lebih baik buat album penuh.
“Album ini datang dulu, kemudian baru konsert kerana kami fikir peminat bukan sahaja mahu lihat kami dalam bentuk AI tetapi nyata. Bagi saya perjalanan KRU tahun ini telah disusun sangat cantik,” kata Norman.
Kaset
Berbicara tentang pembikinan album yang mengambil masa selama enam bulan bermula 10 tahun lalu, prosesnya amat berbeza berbanding dahulu.

KRU sempat mengadakan sesi pradengar album baharu mereka, Kaset bersama peminat tegar sebagai apresiasi awal.
Jika dahulu, mereka bertiga akan terlibat dengan proses di studio daripada mula sehingga akhir kerana keterbatasan teknologi, berbanding hari ini semuanya lebih mudah kerana secara digital.
“Jika dahulu, kaki tangan semua naik atas mixing board dan kami perlu rakam lagu daripada mula sampai akhir, tiada teknologi copy paste.
Sekarang Edry seorang pun sudah boleh buat mixing dan kami rakam nyanyian secara berasingan. Dahulu lebih sukar semuanya secara manual tetapi lebih melekat di memori.
“Apa yang pasti lagu dalam album Kaset akan mengembalikan nolstagia dahulu dan ibarat seperti sebuah filem mahupun buku yang ada penceritaannya,” kata Yusry.
Selain mengandungi 10 buah lagu antaranya, Voodoo, Remaja Selamanya, One More Time dan Selamat Hari Lahir, album Kaset juga akan dipasarkan secara fizikal iaitu cakera padat dan juga vinyl.
“Rasanya tiada lagi penyanyi buat album penuh dan keluarkan dalam bentuk fizikal. Ini kepuasan untuk kami dan peminat.
“Saya akui sekarang zaman digital, tetapi album fizikal ini sebagai koleksi. Sempena konsert memang sangat sesuai untuk peminat beli dan bawa pulang buah tangan terbaharu kami,” ujar Norman usai majlis pra-dengar Kaset baru-baru ini.
Album Kaset diterbitkan dengan kerjasama Sony Music Entertainment boleh didapati di semua platform digital bermula 25 April lalu. – HIBGLAM