TETAP mahu mempertahankan rumah tangga, pelakon Azlan Komeng enggan memenuhi permintaan isterinya, Nur Nilam Ortiz yang mengajukan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada 9 April lalu.
Malah Azlan atau nama sebenarnya, Muhammad Azlan Kamiran, 48, juga belum bersedia untuk mendedahkan punca yang mendorong teman hidupnya itu bertindak sedemikian kepada umum.
“Isteri sudah failkan fasakh, saya hormati tindakan dibuat. Hanya ingin beritahu, saya tidak akan melepaskan isteri.
“Saya mempunyai alasan tersendiri, belum masa untuk berkongsi. Saya mohon kesabaran pihak tertentu untuk beri saya ruang dan masa kerana saya tahu apa yang sedang diusahakan.
“Insya-Allah, bila sampai satu masa tepat, saya akan kongsikan kepada semua,” katanya dalam perkongsian video TikTok.
Menerusi perkongsian sama, pelakon aksi dan lagak ngeri itu memujuk isterinya agar memberikan masa lagi untuknya memperbetulkan keadaan.
“Kepada isteri, Nur Nilam, abang (panggilan Azlan) harap awak boleh bersabar dan berikan sedikit masa untuk
selesaikan apa yang perlu dibuat.
“Macam mana pun, abang tetap sayangkan awak. Awak adalah seorang yang sangat penting dalam hidup. Abang tak mampu berkata lebih dan berharap awak dapat bersabar.
“Insya-Allah, abang akan buat yang terbaik dan melindungi awak semampu yang boleh,” ujarnya
Terdahulu, kehadiran Nur Nilam di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat mencetuskan tanda tanya berkenaan status rumah tangga pasangan terbabit.
Perkara tersebut dikongsikan pempengaruh media sosial itu menerusi TikTok selepas Azlan memintanya meminang bakal madunya.
Azlan dan Nur Nilam mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022. – HIBGLAM