BERUNSUR pemujaan, pelakon Pekin Ibrahim dilarang isterinya, Mona Allen membuat latihan menghafal mantera yang merupakan sebahagian daripada dialog dalam filem Kulit Wayang di rumah.
Menurut Pekin, 43, mantera tersebut bukan rekaaan sebaliknya bacaan sebenar yang dilontarkan tok dalang sebelum melakukan persembahan wayang kulit.
“Dialog saya melibatkan beberapa mantera wayang kulit tetapi rasa seram dan takut nak baca di rumah.
“Ada sekali tu, saya cuba praktis di rumah, Mona bertanya tentang mantera tersebut dan melarang membacanya sebab takut.
“Jadi, saya ‘rehearsal’ bacaan mantera tersebut di studio sahaja. Itu mantera betul dan ayat-ayatnya memang memuja-muja,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media filem Kulit Wayang di sini, semalam.
Tambah Pekin, menghafal manter yang menggunakan bahasa sanskrit antara cabaran utamanya untuk filem arahan Dain Said itu.
Kata bapa kepada seorang cahaya mata itu, pelbagai cara dilakukan untuk memudahkan dia mengingati bacaan mantera tersebut termasuk merakam suara sendiri.
“Sepanjang tempoh penggambaran, memang tiada pengalaman mistik sangat tetapi apabila melibatkan mantera, bulu roma akan meremang.
“Nak hafal mantera itu memang susah sebab mereka guna bahasa sanskrit. Selalunya saya hafal dengan rekod suara sendiri, kemudian dengar semula dalam kereta sambil memandu.
“Ibarat macam hafal lagu. Ambil masa seminggu juga nak hafal satu muka surat.
“Saya akan hafal dulu dan cari ‘feel’ itu. Kalau nak cari makna memang sukar nak faham, jadi hafal sahajalah,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Pekin turut memuji kesungguhan bintang utama Kulit Wayang iaitu Fattah Amin menguasai dialek Kelantan.
“Filem ini Fattah sangat berbeza. Saya bangga lihat komitmen dan berjaya buang stigma orang mengatakan dia pelakon kayu dulu.
“Dia memang lain dan berjaya meletakkan diri sebaris dengan pelakon gred A lain,” jelasnya.
Selain Fattah dan Pekin, Kulit Wayang yang mengangkat seni budaya wayang kulit itu turut dibintangi Amanda Anda dan dua pelakon Indonesia iaitu Jenna Kamaratih serta Reynavenka Deyandra.
Kulit Wayang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 1 Mei depan. – HIBGLAM.