BUKAN soal aksi yang menuntut banyak tenaga, pelakon Andy Teh sebaliknya berdepan kesukaran berbeza sepanjang menjayakan filem terbaharu lakonannya, Golden Blessing apabila tidak fasih bertutur dalam bahasa Kantonis yang menjadi bahasa pengantar utama naskhah berkenaan.
Enggan mensia-siakan peluang mempersembahkan kemampuan dalam filem usaha sama Malaysia dan Hong Kong tersebut, Andy atau nama lengkapnya Andy Teh Kim Huat, 41, bertekad memberikan komitmen berganda berbanding mana-mana komitmen yang ditumpahkan dalam projek terdahulunya sebelum ini.
“Saya tidak fasih berbahasa Kantonis, pernah beberapa kali dikecewakan pengarah Hong Kong kerana perkara tersebut.
“Apabila mendapat peluang berlakon dalam filem ini, saya berusaha untuk melancarkan pertuturan dalam bahasa tersebut, lebih daripada apa yang saya lakukan dalam filem Black Ops. Bintangi Golden Blessing, saya
“Saya diberikan skrip dalam dua bahasa, Inggeris dan kantonis. Disebabkan saya tidak boleh membaca dalam bahasa Kantonis, skrip bahasa Inggeris itulah membantu saya memahami watak dan jalan cerita,” katanya semasa sidang media filem Golden Blessing di Lexis Hibiscus, Port Dickson, semalam.
Sedar wujud perbezaan dialek antara masyarakat Malaysia dan Hong Kong, pelakon filem Blood Brothers itu mengambil inisiatif tersendiri untuk menguasai sebutan yang betul.
“Bahasa Kantonis di Malaysia berbeza dengan Hong Kong. Dalam proses menguasainya, saya meminta rakan untuk mentejermah dan kemudian, saya tulis semula dalam perkataan pinyin.
“Kemudian saya minta sahabat saya untuk menuturkannya supaya saya dapat rakam dan dengar semula setiap hari dalam masa sebulan.
“Saya bekerja keras untuk menguasai bahasa Kantonis yang ditutur masyarakat Hong Kong. Saya rasa sangat lega kerana dapat menghidupkan watak itu dengan sebaiknya,” jelasnya.
Usaha gigih yang ditunjukkan Andy membuahkan hasil apabila mendapat pujian daripada pengarah filem berkenaan, Mak Ho Pong sebaik sahaja selesai menjayakan satu babak penting.
“Ini pertama kali seorang pengarah, selepas babak penting dalam filem ini, datang dan memeluk saya sambil mengucapkan tahniah kerana berpandangan lakonan saya bertambah baik dari semasa ke semasa.
“Ini kerana pada hari pertama, saya gagap apabila diminta membaca skrip depan beliau. Saya berasakan seperti melaksanakan kerja yang baik sebagai pelakon Malaysia,” ujarnya.
Golden Blessing, merupakan filem usahasama Malaysia dan Hong Kong yang lokasi penggambarannya dilakukan sepenuhnya di Port Dickson.
Filem tersebut turut dibintangi pelakon Hong Kong popular seperti Owen Cheung Chun Long, Ruco Chan Chin Pang, Benjamin Yuen Wai Ho, Mandy Wong Chi Man, Kent Cheng Jak Si dan ramai lagi.
Andy memegang watak Koh, seorang pemegang peta yang bergabung dengan karakter lain untuk mencari harta karun yang terdapat di hotel tersebut.
Filem Golden Blessing bakal menjengah pawagam seluruh negara pada sambutan Tahun Baharu Cina 2027. – HIBGLAM
