Kes ditangguh Mei depan, teruskan dengan JKP – Peguam Zehra Zambri

MAHKAMAH Rendah Syariah Hulu Langat menetapkan kes permohonan perceraian penyanyi, Zehra Zambri dan suami, Nur Mohd Iqwan Samsudin ditangguhkan ke 7 Mei depan.

Peguam mewakili Zehra, Abd. Muiz Samsuri berkata, tarikh tersebut diteruskan dengan proses Jawatakankuasa Pendamai (JKP) dengan kedua-dua pihak melantik wakil masing-masing.

“Pihak Iqwan tidak bersetuju melepaskan Zehra secara baik, jadi mahkamah menetapkan tarikh lain untuk kedua-dua mereka melantik wakil JKP.

“Anak guam saya berharap suaminya dapat membuka hati untuk melepaskannya secara baik. Pihak Zehra akan melantik ayah sebagai wakil JKP,” katanya selepas prosiding pertama kes perceraian Zehra dan Iqwan di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi hari ini.

Pada masa sama, Muiz berkata, pihaknya tidak boleh memperincikan mengenai lima tuntutan yang dibuat anak guamnya untuk menuntut perceraian terhadap Iqwan.

Apa sahaja alasan dalam tuntutan mahkamah itu yang berlaku antara mereka. Tetapi lebih terperinci biarlah mahkamah sahaja yang tahu,” ujarnya.

Sementara itu, Iqwan berkata, dia masih belum membuat keputusan untuk melantik wakil selain tidak mempunyai peguam untuk prosiding mahkamah.

Sebelum ini, Iqwan berkongsi lima tuntutan permohonan perceraian yang difailkan Zehra pada 7 Mac lalu dan antara alasan adalah tiada lagi persefahaman antara mereka, culas menjalankan tanggungjawab, pengabaian serta institusi perkahwinan sudah tidak dapat diselamatkan.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tanggga pada 11 November 2021 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela yang kini berusia dua setengah tahun.

Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada 14 Oktober 2017, namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.

Iqwan juga pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata yang berumur 11 dan 13 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok