BUAT julung kalinya, kumpulan K-Pop (G)I-DLE dan penyanyi BamBam bakal mengadakan konsert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Menurut pihak penganjur iaitu Live Universe, peminat K-Pop Malaysia akan merasai pengalaman luar biasa dalam konsert sulung yang dijadualkan berlangsung pada 14 Jun depan dan akan menjadi saksi hari bersejarah yang bakal diingati.
Kami akan membawakan pengalaman yang tiada tandingan kepada peminat K-Pop di Malaysia.
“Sebagai tuan rumah kepada (G)I-DLE dan BamBam, acara ini bukanlah sekadar konsert tetapi pencapaian bersejarah yang akan dikenang untuk tempoh panjang,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Ini merupakan kemunculan kedua BamBam di Malaysia yang pernah menghiburkan peminat pada 2023.
Pemilik nama lengkap Kunpimook Bhuwakul itu mula mencipta nama apabila menyertai kumpulan GOT7 pada 2014 di bawah JYP Entertainment.
Pada Jun 2021, bintang kelahiran Thailand itu memulakan kerjaya solo dengan pelancaran EP sulungnya berjudul riBBon yang mengandungi enam buah lagu mempamerkan kepelbagaian seni.
Sementara itu, (G)I-DLE ditubuhkan pada 2018 di bawah Cube Entertainment meraih populariti global menerusi gaya muzik unik dan persembahan dinamik.
Kumpulan wanita yang terdiri daripada Miyeon, Minnie, Soyeon, Yuqi dan Shuhua itu melancarkan EP sulung mereka berjudul I Am.
Peminat boleh membeli tiket konsert di laman web Ticket2U bermula 16 April ini jam 12 tengah hari.
Harga tiket dijual mengikut enam kategori seperti RM294 (CAT6), RM408 (CAT5), RM556 (CAT4), RM670 (CAT3), RM852 (CAT2) dan RM1,098 (CAT1).
Namun, peminat yang membeli tiket awal (early bird) akan menerima diskaun sebanyak 10 peratus ke atas harga tiket asal bagi setiap kategori. – HJBGLAM