CANTIK dan rajin, tindakan anak kepada pelakon Rozita Che Wan, Aaisyah Dhia Rana mengemas bilik sendiri tanpa bantuan ibu bapa mahupun pembantu rumah dilambung pujian netizen.
Menerusi satu video dalam TikTok, Rozita atau nama sebenarnya atau nama sebenar Rozita Abu Bakar, 52, berkongsi momen anak perempuannya itu memegang penyapu sejurus keluar dari bilik tidur.
Ujarnya, dia tidak mampu menolong kerana keadaan tubuh yang kurang sihat sejak beberapa hari lalu.
“Maid in Manhattan. Nak bilik besar sangat kan, kena kemas sendiri la.
“Saya pula demam, tiga hari tak bangun. Dia la kena ambil alih tugas saya,” katanya.
Gelagat spontan Aaisyah tidak merungut dan hanya tersenyum selepas melakukan kerja rumah itu mengundang reaksi positif netizen yang rata-rata memuji cara didikan pelakon drama Kiah Pekasam itu terhadap anak bongsunya.
Semakan menerusi ruangan komen pula mendapati ramai yang terinspirasi melihat Aaisyah berdikari walaupun hidup dalam serba mewah.
“Bijak Che Ta ajar anak. Tak manjakan sangat, bagus untuk bentuk disiplin,” kata netizen.
“Tak sangka anak selebriti pun tahu ambil penyapu dan kemas bilik, baguslah Che Ta memanjakan sangat,” tulis pengguna media sosial.
“Aaisyah ni memang nampak matang sejak kecil, memang layak la emak dia letak hantaran tinggi” tulis netizen itu.
Che Ta mendirikan rumah tangga dengan pelakon Zain Saidin pada 11 Disember 2013 dan dikurniakan Aaisyah yang kini berusia 11 tahun. – HIBGLAM