‘Jika bukan milik kita, harus reda melepaskan’  

SUDAHLAH bermacam cabaran harus ditempuhi sepanjang rakaman menghasilkan lagu Harus Begini Jadinya, pendatang baharu, Rika Riana juga terpaksa menelan dan menterjemah banyak emosi sukar dalam lagu berkenaan agar sampai ke dasar hati pendengar.

Menurut Rika, lagu itu memberi gambaran terhadap perasaannya selepas mengalami satu kehilangan besar meskipun cuba dipertahankan sekuat mungkin.

“Benar, Harus Begini Jadinya terletak pada kekuatan emosi yang mendalam berlandaskan kepada kejujuran bait kata-kata yang tersemat di dalamnya.

Lagu ini sangat dekat di hati sebab menggambarkan perasaan reda dengan sebuah kehilangan. Meskipun kita mempertahankan sesuatu, jika bukan milik kita, harus dilepaskan juga.

“Setiap babak dalam video muzik juga dirakam dengan elemen kesederhanaan untuk menggambarkan kekosongan dan proses penerimaan selepas kehilangan,” katanya.

BERASAL dari Keningau, Sabah Rika Riana berhasrat dapat mengukir nama besar dalam industri seperti penyanyi asal Negeri Di Bawah Bayu lain sebelum ini.

Lokasi penggambaran terpaksa dilakukan dalam rumah memandangkan cuaca tidak mengizinkan pada tarikh dijanjikan.

Walaupun muzik video ini hanya berlatarkan bilik dan ruang tamu, visual tetap membawa naratif mendalam,” ujarnya.

Menurut pemilik nama sebenar Erika Rianty Anthony itu, lagu berkenaan juga sebuah perjalanan rasa yang harus dihadapi sepanjang proses rakaman berlangsung.

Tambahnya, sejak dahulu lagi, penyanyi kelahiran Keningau, Sabah itu mengakui sejak kecil sudah menjadikan karya Ajai sebagai inspirasi muziknya dan peluang berharga ini disifatkan sebagai salah satu pencapaian terbesar dalam kerjaya seninya.

“Ajai sangat teliti dan tahu bagaimana mahu mencungkil emosi yang tepat untuk mengalunkan lirik.

Sepanjang sesi rakaman, saya belajar banyak tentang penghayatan dan seni dalam penyampaian.

“Ajai sangat profesional dan memudahkan banyak perkara sepanjang kami bekerjasama. Itu kenangan paling manis untuk saya,” ujarnya.

Penyanyi berusia 25 tahun itu berharap Harus Begini Jadinya memberikan tuah kepada kerjaya seninya pada 2025.

Lagu dan video muzik lagu itu yang dilancarkan sejak 18 April lalu kini boleh dilayari menerusi semua platform digital dan YouTube Indigital Music. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok