KALAU tersiar sahaja gosip mengenai artis Malaysia sahaja, pasti timbul suara sumbang netizen yang kurang senang menyindir berita sebegitu tidak menjamin kestabilan ekonomi negara.
Hakikatnya rangkaian ‘drama’ membabitkan barisan selebriti tanah air sentiasa menjadi lauk netizen tidak kira waktu sama ada ketika sarapan, merarau, kudapan mahupun gabi.
Masakan tidak, dalam laman sesawang HibGlam kisah segala rencam dunia hiburan mudah merajai carta populari sekali gus bermaksud pembaca online pantang terlihat tajuk sensasi, tidak akan dibiarkan berlalu sepi.
Minggu ini sahaja, bukan seorang artis sahaja yang memeriahkan industri hiburan dengan sajian kisah dalam kain, bahkan beberapa bintang ternama juga tampak rela membuka pekung di dada.
Kesemua cerita yang sewajarnya tidak dijadikan santapan mata di media sosial dikongsikan tuan punya diri dan secara tidak langsung seperti melondehkan kain sendiri seterusnya membuntangkan mata pembaca dan bikin huru-hara.

BERMULA dengan kemarahan terhadap menantu, kemarahan Abby kini terarah terhadap bekas suaminya, Norman yang disifatkan tidak bertanggungjawab.
Abby merusuh rasa
Pada Jumaat lalu, secara tiba-tiba pelakon Abby Abadi memuntahkan kemarahan terhadap menantunya, Aslam yang didakwa tidak memohon maaf atas kesalahan yang pernah dilakukan.
Bermulalah sesi balas-membalas antara Abby, Aslam dan anak perempuannya, Marissa dalam media sosial kerana difahamkan pelakon filem Gerak Khas The Movie itu enggan membalas mesej atau berjumpa dengan puterinya.
Lebih teruk, pemilik nama lengkap Arbaiyah Abdul Manan, 48, mengheret nama bekas suami, Norman Hakim yang juga pelakon dalam pertelingkahan terbabit seolah-olah luka lama kembali berdarah.
Seakan-akan sudah lama memendam perasaan, Abby turut membuka kisah lama Norman yang difahamkan menjadi punca perangai anak perempuannya sukar untuk dikawal.
Saya marah Marissa dia akan lari ke keluarga Norman. Lagi senang kalau dengan saya sebab kalau marah budak, dia tak pergi tempat lain.
“Bila ada anak plihan dia tak dengar cakap kita,” katanya.

NORMAN bersama dua puteri kesayangannya hasil perkahwinan dengan Abby Abadi.
Kekecewaan Abby bertambah jelas apabila mendakwa Norman tidak memberikan nafkah buat anak-anaknya selepas mereka berpisah dan mahu berjuang mendapatkan kembali hak yang sepatutnya dimiliki ketiga-tiga anak daripada bapa mereka selama ini.
Norman memang melepaskan dirinya hingga sekarang, jadi saya rasa tiada sebab untuk berbaik, tiada keperluan. Saya baik pun orang ambil kesempatan.
“Kalau dapat putarkan masa, saya nak jaga sendiri anak saya. Tak perlu libatkan orang lain atau beri peluang kedua,” jelasnya.
Tidak cukup dengan itu, Abby juga memberikan kenyataan berani apabila mendedahkan perkahwinannya bersama Norman sebelum ini terbina kerana lelaki itu kecewa dengan wanita lain.
Saya rasa Norman bukan nak sangat kahwin dengan saya, mungkin dia tidak sengaja. Ketika itu dia ‘frust’ (kecewa) dengan orang lain tetapi tiba-tiba dia kahwin dengan saya,” tuturnya lagi.
Media sosial ibarat diari buat Abby buat masa sekarang kerana dia akan luahkan segala yang terbuku dalam hatinya buat masa ini.
Namun, apa sahaja yang dikeluarkan Abby sepatutnya perlu berjaga-jaga memandangkan segala-galanya dalam media sosial akan kekal selama-lamanya.
Shahida vs Rebecca
TIADA angin tiada ribut, pelakon Datin Rebecca Nur Al-Islam dan Datin Seri Shahida dikatakan bertegang urat dalam media sosial.

SHAHIDA mengkritik Rebecca suka mencari publisiti murahan apabila kerap memuat naik hantaran mengenai Bonda Rozita dalam media sosial.
Semuanya gara-gara isteri usahawan terkenal Datuk Aliff Syukri yang dikatakan tidak berpuas hati dengan Rebecca yang sering berkongsi tentang kakak ipar baharunya iaitu Bonda Rozita Ibrahim yang merupakan mentua Shahida.
Mencari publisiti murahan. Sibuk nak ‘mencapap’ (mengendeng), yang tiada kena mengena pula sibuk nak buat hantaran dalam media sosial tentang adik ipar, kakak ipar.
“Anak sendiri pun tak buat, duduk diam-diam. Kalau sekali buat hantaran okey lah tetapi kalau sudah tiga empat kali lebih-lebih pula kau. Saya memang cakap terus sahaja. Saya bukan kaki drama,” ujarnya.
Bagaimanapun, Rebecca yang tertampar dengan kenyataan terbabit tampil mempertahankan diri dan membersihkan namanya.
“Saya tak perlu publisiti murahan. Saya sudah popular sejak berlakon ketika usia saya belasan tahun lagi.
Saya rasa mak cik (Shahida) yang cuba cari publisiti murahan. Sebab mak cik yang selalu buat konten murahan,” katanya.
REBECCA tidak berpeluk tubuh apabila bertindak membalas kritikan pedas Shahida terhadapnya.
Namun, drama semakin panas apabila Aliff dan adiknya, Maryam Nur Imani tampil mempertahankan Shahida termasuk Bonda Rozita.
Malah, adik-beradik Aliff yang lain iaitu bukan seibu dan sebapa dengannya juga mempertahankan maruah wanita itu.
Tidak lama kemudian, Rebecca memadam semua hantaran Instagram yang melibatkan Shahida bagi menghormati permintaan abang kesayangannya.
Sebelum membuat keputusan memadam hantaran, Rebecca sempat melondehkan sisi gelap Shahida yang didakwa sebagai majikan kurang adab, termasuk mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan.
Dalam masa sama, Rebecca juga menepis dakwaan kononnya dia meminjam RM1.5 juta daripada kakak iparnya.
Selepas beberapa hari, Rebecca mahupun keluarga Shahida tidak lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan berkemungkinan menganggap segala-galanya selesai tanpa perlu mendedahkan kepada umum.
Atau barangkali kedua-dua mereka sedang mengambil masa menenangkan serta muhasabah diri agar lebih matang dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan. – HIBGLAM