PASRAH dengan segala ketentuan, pelakon dan pengarah Farid Kamil mengakui berlapang dada menerima apa jua keputusan membabitkan sebutan kes perceraian dengan aktres Diana Danielle di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 24 Mac ini.
Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 43, berkata, dia enggan lagi memujuk isterinya itu untuk terus mengekalkan ikatan perkahwinan mereka seperti yang diharapkan sebelum ini.
“Benda sudah tertulis dan pernah dilalui (proses perceraian), cuma sekarang yang perlu dibuat adalah kena hadapi (keputusan) dengan penuh keterbukaan dan reda.
“Saya rasa untuk kali kedua (bercerai) saya berserah kepada yang Maha Esa masalah perkahwinan dan komunikasi antara kami.
“Berdoa, itu sahaja saya buat. Tiada sesi pujukan, tak keluar duit dan tak beli apa pun sebab apa lagi yang boleh saya berikan setelah dia menghancurkan hadiah hari jadinya tempoh hari,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tenang menunggu Isnin depan, membalas pertanyaan sama ada dia dan Diana boleh bersahabat selepas ini, Farid berkata berdasarkan keadaan semasa perkara tersebut tidak mungkin berlaku.
“Saya rasa dengan situasi ini kami boleh berkawan, itu saya tak terfikir dan saya tak rasa pun akan berlaku.
“Cuma paling penting adalah anak-anak saya. Mereka lebih utama,” kongsinya.
Memaklumkan setakat ini masih berpeluang bertemu permata hati, pengarah filem Remp-it 2 itu bersyukur dua kali dapat berbuka puasa dengan Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10.
“Alhamdulillah, saya dapat berbuka puasa dengan mereka, malah berpeluang solat terawih bersama-sama.
“Kalau hubungi anak-anak untuk habiskan masa dengan mereka saya enggan menaruh harapan sebab tahu mungkin ibu mereka sudah ada perancangan lain pada waktu sama.
“Jadi apabila dapat bawa mereka keluar, saya sudah cukup bersyukur. Sebagai bapa tentu anak-anak yang saya utamakan kerana mereka ini amanah Allah,” katanya.
Ditanya persediaan ke mahkamah, katanya pada sebutan kes permohonan perceraian dibuat isterinya kali ini dia tidak akan melibatkan orang tuanya.
“Masalah saya ini tiada siapa pun jadi rujukan untuk saya lihat melainkan diri sendiri. Kali ini saya tidak mahu libatkan ibu bapa kerana apabila saya
kahwin, itu keputusan yang saya buat.
“Saya enggan mereka susah hati. Mereka tahu perkembangan saya tetapi saya tidak bercerita lebih mendalam.
“Perkara ini (soal jodoh) sudah tertulis dan saya kena hadapi dengan tenang. Kalau ‘sakit’ pun kita perlu jalan terus,” ujarnya.
Terdahulu, Diana membuat permohonan perceraian kali kedua namun pada 15 Disember tahun lalu Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur memerintahkan pasangan terbabit melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Farid enggan melafazkan talak.
Diana memfailkan penceraian kali kedua itu pada 4 November 2024 atas alasan tiada lagi persefahaman dan perbalahan yang panjang.
Mereka pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos tahun yang sama tetapi rujuk kembali sebulan kemudian.
Mahkamah selepas itu menetapkan 24 Mac ini bagi tarikh sebutan kedua serta hasil laporan JKP. – HIBGLAM