KECOH dalam media sosial apabila aktres cantik, Eyka Farhana dikatakan berlagak diva sewaktu berniaga di Absolute Bazaar yang berlangsung hujung minggu lalu.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik netizen dalam aplikasi Threads, dia mendedahkan seorang artis yang mempunyai pangkalan nama EF enggan bergambar dengannya jika tidak membeli produk yang dijual.
“Berjalan-jalan ke MITEC, nampak artis itu ini. Kebanyakan mereka sangat ramah mesra biarpun kita tak beli produk mereka.
“Tetapi ada seorang artis ni kita cakap haidan minta izin bergambar, dia suruh beli produk dulu. Sambil duduk belai rambut, sikit pun tak bangun untuk mengalukan kita. Patutlah ‘booth’ dia kosong,” dedah netizen tersebut.
Rupanya itu bukan netizen pertama yang melalui pengalaman tidak enak, ada seorang lagi pengguna Threads meluahkan perkara sama.
“Ada satu ‘booth’ artis ni jual biskut raya. Saya nak ambil gambar sebab suami minat dengan dia. Eh! Tak dilayan ya. Kena beli dulu biskut dia baru boleh ambil gambar dengan dia. Artis tu buat-buat main telefon acah paling cantik. Memang geram ya,” luah netizen tersebut.
Biarpun kedua-dua netizen tersebut tidak mendedahkan nama penuh artis tersebut, melalui bayangan yang diberikan ramai meneka artis tersebut Eyka Farhana.
Ramai netizen kecewa dengan tindakan pelakon terbabit yang seolah-olah tidak ikhlas melayan peminat.
Malah mereka turut membandingkan pelakon itu dengan artis lain yang berniaga iaitu Fasha Sandha, Izara Aishah dan Mira Filzah yang dilihat sangat mesra melayan peminat biarpun tidak membeli produk mereka.
Sementara itu, Eyka yang sedar namanya dipetik netizen tampil memberi penjelasan dalam akaun Instagram.
“Saya ada terima mesej kata ada orang ‘spill the tea’ kononnya saya sombong tak nak bergambar. Ya Allah mungkin salah faham.
“Mungkin pekerja saya minta cuba ‘tester’ dan sokong dulu. Mungkin cara awak ‘approach’ pun tak kena dengan waktu yang sesuai. Saya berborak dan bergambar dengan sesiapa sahaja walaupun tak membeli.
Di bulan mulia ini saya mohon maaf kalau ada tersilap atau terkurang daripada kami selama ini,” tulisnya.
Biarpun terpalit dengan cerita kurang enak, biskut raya Eyka habis dijual. – HIBGLAM