Masih berduka, pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof mengakui Ramadan tahun ini cukup berbeza selepas pemergian ibu tercinta, Allahyarham Ramlah Latif pada 24 Februari lalu.
Kata Eizlan atau nama lengkapnya, Idris Md. Yusof, 54, perkara yang membuatkannya terkilan apabila hajat ibu mahu menyediakan juadah raya kesukaan anak-anak Syawal ini tidak kesampaian.
Emak memang pandai masak makanan kegemaran kami adik-beradik. Setakat ini saya tak jumpa lagi wajik yang lebih sedap daripada mak saya buat. Rindu masakan lemak cili api dan rendang mak.
“Tahun lepas mak tak masak sebab dia tak sihat. Kami adik-beradik pun tak benarkan, jadi tahun ini mak kata kalau sihat dia nak masak untuk kami semua.
“Masih terbayang-bayang, mungkin sekarang belum terasa sangat, tetapi menjelang Syawal nanti pasti saya ‘koyak’,” katanya selepas majlis tamat penggambaran filem terbaharu lakonannya, Impak Maksima 2 di Saloma, baru-baru ini.
Mengimbas detik pemergian insan kesayangannya itu, Eizlan yang tidak dapat menahan sebak mengatakan ibunya pergi mengejut selain tidak menunjukkan tanda bakal ‘pergi’.
Bahkan, paling dikesalkan apabila dia yang sampai dari Jakarta, Indonesia atas urusan kerja tidak sempat bertemu ibunya pada keesokan kerana terikat jadual penggambaran promosi kurta.
Sebenarnya mak dah dua tahun sakit selepas disahkan mempunyai kencing manis serta darah tinggi. Makin lama jadi melarat sehingga perlu ditempatkan di wad pantauan.
“Waktu itu saya baru balik dari Jakarta sebab ada pejabat di sana. Sehari sebelum mak meninggal, saya dah sampai di Kuala Lumpur tengah malam dan terus photoshoot kurta jenama saya.
“Esoknya merancang nak jumpa mak semasa tengahari tapi kakak telefon maklumkan mak dah meninggal, saya bergegas ke hospital,” katanya
Begitupun, penerbit dan pengarah terbabit sempat membuat panggilan video bersama ibunya ketika berada di Indonesia bagi meminta doa agar urusan kerja dilancarlan.
Arwah terbaring sudah lama, belakang badan ada luka. Secara kebetulan, ada pula kencing manis, jadi luka lambat baik.
“Ikutkan mak sudah sakit dua tahun, cuma dalam seminggu terakhir sebelum meninggal dunia agak kritikal,” ujarnya.
Mengenai Impak Maksima 2, Eizlan membawakan peranan sama yang digalasnya ketika membintangi naskhah pertama filem itu sekitar 18 tahun lalu.
Filem arahan Ahmad Idham yang dijangka ditayangkan pertengahan tahun ini turut membariskan Nelissa Nizam, Muhsin Nadzli, Fad Bocey, Zul Huzaimy, Dynas Mokhtar dan Arfie Shah. – HIBGLAM