Kecoh Serumpun ‘ghaib’, ada kaitan kontrovesi berkemban?

‘MV Serumpun Mimi Fly dah tiada di YouTube, ada kaitan dengan kontroversi ‘berkemban’?”

Itu antara persoalan yang dizahirkan peminat selepas menyedari MV atau video muzik bagi lagu raya penyanyi Mimi Fly sudah tiada dalam saluran YouTube rasmi miliknya.

Luahan ramai itu disuarakan netizen yang berkongsi perasaan kecewa mereka dalam pelbagai platform media sosial termasuk Twitter dan Threads.

Orang ramai membuat spekulasi MV itu mungkin telah diprivatkan susulan kecaman terhadap penampilan berkemban Mimi dalam muzik video berkenaan.

Kalangan peminat menimbulkan persoalan mengapa video tersebut ‘dighaibkan’ sedangkan telah meraih jumlah tontonan tinggi melebihi 300,000.

Bagaimanapun, ada juga mendakwa kemungkinan video tersebut diletakkan dalam mod privasi susulan menerima kecaman disebabkan gaya berkemban dikenakan bekas anggota One Nation Emcess itu.

“Dah private mungkin sebab orang bising fasal berkemban tu kot,” ulas seorang peminat.

“Mungkin nanti malam raya dia release semula. Bulan puasa orang kita sensitif sikit,” tulis pemilik akaun Twitter lain.

Sebelum ini, MV Serumpun berdepan reaksi negatif segelintir pihak yang menyifatkan busana terdedah digayakan Mimi tidak sopan untuk lagu raya.

Malah, isu itu turut meraih perhatian parti politik Wanita Amanah Wilayah Persekutuan yang mengecam dengan mendakwa MV berkenaan bertentangan ajaran Islam serta maksud sebenar Aidilfitri.

Begitupun, selepas itu Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norisham, 38, meminta maaf dan menerima segala kritikan dengan hati terbuka, selain menyatakan tiada niat mencipta kontroversi.

Difahamkan, penampilan pakaian klasik Melayu, Jawa serta etnik Thai dalam MV terbabit sebagai simbol kepelbagaian budaya yang turut meraikan Aidilfitri walaupun berbeza latar belakang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok