Kecoh dalam media sosial, netizen Korea Selatan atau Knetz menggesa 18 syarikat jenama berprofil tinggi menggugurkan nama aktor Kim Soo-hyun sebagai duta susulan tuduhan pedofilia melibatkan mendiang Kim Sae-ron sejak beberapa hari lalu.
Memetik laporan portal hiburan Korea Selatan, produk daripada jenama termasuk fesyen, kosmetik dan penerbangan yang tidak menggugurkan nama dan terus bekerjasama dengan Soo-hyun akan diboikot.
Kami tak mahu artis yang tidak boleh dipercayai menjadi duta produk.
“Sangat mengecewakan, tolong padam wajahnya dalam semua iklan,” luah mereka dalam media sosial.
Rentetan daripada kontroversi tersebut, beberapa jenama besar dilihat telah menghapuskan imej Soo-hyun daripada poster dan iklan dalam media sosial milik mereka.
Difahamkan, Soo-hyun merupakan antara aktor lelaki yang mendapat bayaran tertinggi di Korea dalam setiap projek lakonannya.
Kontroversi tersebut tercetus selepas saluran YouTube Garosero Research Institute mendakwa Soo-hyun menjalin hubungan cinta dengan Sae-ron selama enam tahun sejak mendiang aktres itu berusia 15 tahun.
Bagaimanapun, agensi pengurusan Soo-hyun iaitu Gold Medalist menafikan dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap saluran YouTube tersebut.
Lebih mengejutkan ramai, foto Soo-hyun mencium pipi Sae-ron turut tular dalam media sosial namun syarikat pengurusannya sekali lagi menafikan dakwaan tersebut.
Perkara tersebut mengundang kemarahan ramai selain Soo-hyun dilabel sebagai pedofilia kerana menjalin hubungan cinta dengan remaja bawah umur.
Terdahulu, Sae-ron popular menerusi lakonan filem The Man from Nowhere dan The Neighbours ditemui mati di rumahnya pada 16 Februari lalu. – HIBGLAM