SYARIKAT penyiaran Astro Audio mengambil maklum kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan bersedia memberi kerjasama berhubung kandungan kontroversi yang dimuat naik dalam akaun media sosial Era FM.
Menurut Astro Audio, Era FM akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan oleh pihak MCMC dan menyediakan maklum balas seperti yang diminta.
“Kami juga mengambil maklum Notis Niat Penggantungan Lesen dan akan mengemukakan maklum balas rasmi mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
Kami memandang serius perkara ini dan sentiasa komited untuk mematuhi standard peraturan serta garis panduan komuniti di semua platform kami.
“Kami amat kesal dengan insiden ini dan kesulitan yang dialami,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Semalam, MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan sudah mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada Astro Audio, pengendali stesen radio Era FM, susulan penyebaran video tular memaparkan penyampainya mempersenda upacara agama Hindu.
MCMC berkata, pemegang lesen diberi tempoh selama 30 hari untuk memberikan maklum balas terhadap notis tersebut sebelum pihaknya membuat sebarang keputusan.
Semalam, tiga penyampai segmen 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin selesai memberi keterangan selama lebih dua jam di Bukit Aman, Kuala Lumpur berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.
Difahamkan, keterangan mereka dirakam oleh pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
Polis mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – HIBGLAM