IBARAT yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, penantian gitaris legenda negara, Man Kidal untuk menjalin kolaborasi dengan raja dangdut Indonesia, Rhoma Irama akhirnya tercapai selepas 20 tahun.
Menurut Man atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood, 63, dia sememangnya merupakan peminat penyanyi legenda itu dan sudah lama memasang impian untuk bekerjasama dengannya.
“Dulu kumpulan Lefthanded ketika di Johor banyak main lagu-lagu Rhoma Irama. Tetapi kita tukar versi rock. Saya memang mengikuti perjalanannya. Saya suka cara dia dakwah melalui muzik. Sebab itu Lefthanded ada lagu Seruan. Kita ambil idealogi Rhoma Irama.
Jadi memang menjadi impian saya untuk berkolaborasi dengan Rhoma Irama. 20 tahun saya mencuba. Empat kali gagal disebabkan beberapa faktor. Akhirnya kini impian itu menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui pada majlis mendatangani kerjasama projek album Nusantara Man Kidal dan Rhoma Irama, baru-baru ini. empat kali gagal,
Bercerita lanjut tentang projek album baharunya itu, kata Man, diskografi terbabit akan memuatkan enam lagu yang menyaksikan tiga daripadanya adalah ciptaan komposer dari Indonesia.
“Sebelum ini sudah ada penyanyi pop yang berkolaborasi bersama penyanyi Indonesia. Ini kali pertama pemuzik dari genre rock melakukan kolaborasi seumpamanya. Projek ini dihasilkan sempena 45 tahun Man Kidal di dalam industri muzik.
Saya berterima kasih kepada Pak Haji Rhoma kerana sudi bekerjasama dengan saya untuk projek ini. Tajuk album ini pun dia yang beri. Harap-harap silaturahim ini kekal sampai bila-bila,” jelasnya.
Sementara itu bagi Rhoma pula, dia tertarik dengan idea Man untuk menggabungkan negara Nusantara dalam satu album.
Muzik mampu menyatukan manusia. Kolaborasi ini bukan sahaja boleh menyatukan dua negara tetapi juga memacu keharmonian sesama manusia. Idea daripada Man sangat bagus jadi saya sambut dengan baik,’ ujarnya.
Album Nusantara Man Kidal dijangka akan dilancarkan pada November depan. – HIBGLAM
