‘Ada yang minta saya, Mira Filzah buat ujian DNA’

MEMILIKI rupa paras seiras, pelakon meningkat naik Tracie Sinidol mendedahkan peminat mencadangkan dia dan aktres Mira Filzah melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Tracie, 23, berkata, permintaan tersebut dianggap sebagai satu gurauan peminat yabg teruja melihat persamaan antara dia dan Mira.

“Ada yang tanya saya, tak mahu ke buat ujian DNA dengan Mira? Manalah tahu ada kena mengena.

Saya cuma jawab, asal-usul kami berbeza dan memang mustahil sebab ibu bapa kami berdua orang berbeza.

“Mereka cakap mungkin kami kembar terpisah tetapi saya tak ambil hati dan anggap semua itu seperti satu jenaka,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan episod akhir Gadis Masa di sini, baru-baru ini.

Disebabkan terlalu kerap disamakan, bekas juara Dewi Remaja 2021/2022 itu mengakui adakalanya dia juga keliru dengan suaranya dengan Mira.

Namun, Tracie menegaskan dia tidak pernah bosan apabila wajahnya kerap disamakan seperti Mira sebaliknya menganggap perkara tersebut sebagai satu rezeki.

Adakalanya suara pun sama. Sampai saya sendiri keliru dengan suara kami ketika tengok video TikTok. Ingatkan suara saya tetapi Mira.

“Orang kata kalau saya memakai tudung, wajah memang akan 100 peratus sama tetapi hakikatnya tidak.

Kalau saya tak pakai tudung, lebih mirip berbanding berhijab. Itu yang kami perasan ketika membuat konten promosi untuk jenama tudung Mira.

“Saya tidak bosan tetapi anggap semua itu komen positif dan rezeki dalam bidang seni,” ujarnya.

Terdahulu, Tracie dan Mira digandingkan dalam drama terbitan Viu Original iaitu Gadis Masa yang turut dibintangi Syafiq Kyle.

Sebelum ini, Tracie ketika dinobatkan sebagai jauar Dewi Remaja 2021/2022 pernah memberitahu mahu mencipta identiti sendiri dan enggan berada dibayangi dengan populariti Mira. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok