‘Setakat ini belum terdetik mahu tinggalkan Dolla’

SEJAK terjun ke dunia muzik sekitar 2019, Dolla yang dianggotai Angel, Sabronzo dan Tabby bagai memulakan langkah kanan apabila dikenali ramai hanya dalam tempoh singkat.

Kehadiran mereka disambut dengan tangan terbuka yang turut dibuktikan menerusi kejayaan konsert sulung tahun lalu apabila Zepp Kuala Lumpur ‘full house’.

Namun, di sebalik kejayaan Dolla terselit kesukaran dihadapi seorang ahlinya, Angel yang kurang fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Bagaimanapun, pemilik lengkap Angelina Chai Ka Ying itu enggan menjadikan perkara tersebut sebagai masalah selain cuba mempelajari bahasa agar bertahan lama dalam industri muzik.

BERSAMA Dolla, Angel semakin matang dan memahami sepak terajang dunia seni. – Baju RIZMAN RUZAINI @rizmanruzaini

“Tak susah sebenarnya jadi penyanyi berbangsa lain sebab Malaysia mempunyai pelbagai kaum. Cumanya, saya ada halangan dalam bahasa.

Saya kerap berkomunikasi dalam bahasa Mandarin jadi agak susah untuk bercakap dalam bahasa Melayu. Itu adalah punca utama kesukaran saya.

“Bagaimanapun, tidak juga menjadi masalah kepada saya kerana ada ramai kawan Melayu sejak kecil dan saya dalam proses untuk belajar berkomunikasi dengan cemerlang dalam bahasa kebangsaan,” katanya kepada HibGlam.

Kenal industri

Berkongsi lanjut, penyanyi berusia 24 tahun itu juga mengakui semakin mengenali dunia hiburan sekali gus tahu cara mahu kekal lama.

“Apa yang saya belajar dalam industri ini adalah untuk kekal menjadi diri sendiri dan biasakan diri dalam dunia ini.

Saya kena faham bagaimana industri bergerak. Kadang-kadang ada kebaikan dan keburukan juga menjadi kumpulan berbilang bangsa seperti Dolla.

“Apa pun kena faham budaya dan agama yang ada dalam negara supaya kita tahu batas sebelum melakukan sesuatu,” ujarnya lagi.

TAHUN  Baru Cina adalah waktu untuk Angel berkumpul dengan  keluarga dan mengeratkan hubungan dengan melakukan aktiviti bersama-sama termasuk bermain mahjong. – SOLEKAN @susamchan_makeup

Sebelum ini, Angel dan dua lagi rakan sekumpulan terpaksa berlapang dada dengan pemergian Syasya yang akhirnya mengundur diri.

Ditanya sekiranya Angel pernah terdetik untuk keluar daripada Dolla, dia enggan berbuat demikian tetapi hanya mahu berehat seketika demi menghabiskan banyak masa bersama keluarga.

“Setakat ini belum terdetik mahu meninggalkan Dolla cuma pernah ada rasa nak berehat seketika untuk bersama keluarga.

Saya jauh daripada keluarga sejak enam tahun lalu kerana sambung belajar. Tamat pengajian, saya ke Kuala Lumpur mencari kerja.

“Jadi, saya dah lama tidak memperuntukkan waktu berkualiti bersama mereka. Memangnya, situasi ini agak mencabar bagi mental saya,” katanya.

MEMAKNAKAN sambutan Tahun Baru Cina, Angel membawa ibunya melancong di Korea Selatan. – TATARIAS RAMBUT @codychua

Raya Cina di Korea

Menukar topik perbualan, pelantun lagu Berani itu sebenarnya bercuti selama seminggu di Sarawak bagi menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga.

Tidak hanya itu, Angel bakal membawa ibunya bercuti di luar negara untuk mencipta memori bersama setelah lama bekerja keras.

“Tahun ini, sambutan raya Cina agak berbeza kerana saya bawa mak pergi melancong ke Korea Selatan.

Sebelum ini, kami hanya berada di Sarawak dan melawat rumah saudara-mara sahaja.

“Kali ini, saya mahu buat sesuatu kelainan dan lebih bermakna buat mak saya dengan menghabiskan masa berdua,” jelas anak kelahiran Kuching, Sarawak itu.

Dalam masa sama, Angel juga memaklumkan keluarganya hanya akan meluangkan masa bermain mahjong setiap kali perayaan tiba.

“Keluarga kami tiada budaya pun cumanya kami akan bermain mahjong sampai lewat malam. Saya pula tak mahir main.

Ibu bapa, adik-beradik dan sepupu saya memang pandai bermain. Mungkin saya patut belajar kelak.

“Momen tersebut memang sangat seronok kerana kami dapat berkumpul beramai-ramai dan menghabiskan masa bersama-sama,” tuturnya. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok