SAYA minta maaf, sebelum ini salah cakap ada kereta mewah kena jaga imej.”
Demikian kata penyanyi Zaki Yamani, 19, yang menyesali tindakannya mengeluarkan kenyataan membeli kereta mewah Mercedes-Benz AMG A Class untuk menjadi imejnya.
Menurut pemilik nama lengkap Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah itu, memiliki kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai sekitar RM300,000 itu adalah untuk memberi inspirasi kepada generasi muda agar mengejar impian masing-masing.
Tujuan saya sebenarnya mahu generasi muda ada motivasi membeli kereta idaman mereka.
“Memang saya mahu mereka jadikan inspirasi tetapi tersalah cakap sebelum ini sehingga kena kecam,” katanya kepada HibGlam.
Tambah anak penyanyi tersohor, Datuk Jamal Abdillah itu lagi, selain kereta dia juga mahu ada rumah sendiri tetapi perlu fokus mengukuhkan kerjaya terlebih dahulu.
“Bagi saya kereta itu adalah pelaburan, sebagai penyanyi muda perlu melabur.
Kalau rumah pula memang ada terfikir cuma minat sekarang lebih kepada kereta.
“Tanah sudah ada cuma buat masa ini mahu fokus karier dahulu. Kalau ada rezeki, baru akan fikir bina rumah,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Zaki pernah meluahkan rasa bangga apabila berjaya memiliki kereta yang sudah lama diidamnya.
Bagaimanapun, dia dikritik kerana menyatakan kereta tersebut melambangkan imej pencapaiannya pada usia muda. – HIBGLAM