“Faz (nama panggilan Fazura) sudah besarkan Fatima dengan cara terbaik.”
Demikian respons pelakon Fattah Amin apabila ramai menyalahkan bekas isterinya, Fazura selepas anak perempuan mereka, Fatima Aisya membuat kenyataan tidak lagi menyayangi bapa sendiri.
Tegas Fattah atau nama lengkapnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 34, Fazura sudah mendidik anak tunggal mereka dengan sehabis baik.
“Itu mummy Fatima, tak sepatutnya orang komen bukan-bukan tetapi saya anggap mereka tidak tahu.
“Faz sebenarnya sudah besarkan Fatima dengan cara terbaik.
“Saya sendiri percaya Faz dah menjalankan tanggungjawab sebagai mak Fatima dan saya pun sama,” katanya usai majlis ramah mesra bersama jenama produk Rissa SkinxFattah Amin semalam.
Merujuk video tular Fatima dan Fazura, pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan turut menasihati orang ramai supaya jangan bersangka buruk dan menjaga pertuturan dalam apa jua situasi.
“Jangan terlalu mudah buat andaian bukan-bukan dan sentiasa berfikiran positif.
“Cakaplah yang baik-baik kerana percakapan adalah satu doa dan fikir baik-baik,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Fatima meluahkan perasaan tidak lagi menyayangi Fattah dalam sebuah siaran langsung TikTok, baru-baru ini.
Fazura bagaimanapun menasihati Fatima tidak sepatutnya berkata sebegitu selain perlu menyayangi bapanya.
Fattah kemudian tampil menyifatkan rajuk Fatima sebagai perkara normal bagi seorang kanak-kanak, sekali gus menafikan dakwaan hubungan dengan anaknya bermasalah.
Fattah dan Fazura bernikah pada 27 November 2017 dan sah bercerai talak satu pada 7 Oktober tahun lalu.
Rentetan itu, hak penjagaan anak menjadi milik Fazura manakala Fattah diberikan hak lawatan dan bermalam. – HIBGLAM.