SELEPAS membintangi filem Duyung, pelakon jelita Anna Jobling sekali lagi bakal mengikut jejak langkah Maya Karin apabila ditawarkan membintangi filem Pontianak Harum Sundal Malam 3.
Jelas Anna atau nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling, 25, dia teruja untuk membintangi filem seram ikonik itu.
Saya sangat teruja. Pontianak Harum Sundal Malam adalah filem seram pertama yang saya tonton sewaktu kecil. Watak Maya Karin memang terpahat dalam ingatan saya.
“Tetapi saya sendiri tidak tahu bila filem ini akan jalani penggambaran. Saya nak ulas lebih-lebih pun tak boleh. Kita nantikan saja,” katanya ketika ditemui di Gempak Most Wanted Awards 2024, di sini, semalam.
Sebelum ini Anna pernah membintangi filem seram terbitan Indonesia berjudul Lembayung di mana dia memegang watak sebagai hantu.
Malah, lakonannya dipuji ramai terutama peminat di negara itu. Anna juga baru selesai membintangi filem seram bersama Baim Wong, Luna Maya, Fedil Nuril dan Christine Hakim.
Perkembangan lain, Anna berjaya mempertahankan trofi Gempak Most Wanted Awards untuk dua tahun berturut-turut dalam acara yang berlangsung semalam.
Dia turut membawa pulang dua lagi trofi iaitu Selebriti Tergempak dan Drama Tergempak. – HIBGLAM