‘Wajah ‘androgynous’ tapi saya seorang wanita’

BEKAS model dan usahawan Zahnita Wilson mengakui wajahnya mempunyai ciri-ciri androgini iaitu sisi maskulin dan feminin.

Perkara itu dikongsi pemilik nama penuh Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 40, apabila ada netizen melemparkan komen mengatakan wajahnya kelihatan seperti lelaki.

Ya saya mempunyai wajah yang sangat androgynous, ada sisi lelaki atau wanita.

“Namun, saya boleh beri jaminan saya seorang wanita termasuk hati, badan, minda dan jiwa,” katanya dalam Instagram baru-baru ini.

Dalam hantaran sama, dia turut berkongsi tip yang diamalkan untuk memiliki bentuk wajah cantik secara semula jadi sejak bergelar model pada awal usia 20-an.

“Pada usia 21 tahun, saya memutuskan untuk menjadi seorang model profesional.

Saya belajar bagaimana mahu membentuk wajah secara semula jadi dengan menggunakan beberapa teknik kawalan otot dan pergerakan gusi seperti mengunyah.

“Maaf sekiranya ekspresi wajah saya kelihatan teruk, tabiat yang sukar dibuang. Jadi, apa lagi yang perlu saya kongsi?” ujarnya.

Zahnita tidak lagi aktif dalam dunia peragaan selepas mendirikan rumah tangga pada 2005.

Pada akhir tahun lalu, namanya kembali menjadi bualan hangat selepas berkongsi foto matanya dalam keadaan lebam dengan mendakwa kecederaan itu akibat dipukul suaminya, Abdul Zackery Ghouse.

Tidak tahan menjadi mangsa keganasan rumah tangga, dia kemudiannya memfailkan perceraian pada awal Disember tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok