‘Untuk Fatima, tiada istilah sibuk, tiada masa’

PELAKON Fattah Amin menepis dakwaan segelintir pihak menuduhnya kurang meluangkan masa dengan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya kerana mengutamakan kerjaya seni yang kini sedang meroket.

Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 35, berkata, dia tidak pernah mengabaikan kewajipan sebagai bapa walaupun jadual kerjanya  padat.

“Perkongsian Instagram baru-baru ini menunjukkan antara momen saya dapat berjumpa dengan Fatima tapi sudah tentu situasi tidak sama macam dulu.

Kalau ada yang kata saya sibuk sehingga ketepikan Fatima, itu tidak benar. Jadual kerja saya sudah disusun awal dan tarikh melawat Fatima juga sudah dipersetujui. Dalam sebulan, saya dibenarkan melawat dan bermalam bersama Fatima beberapa kali.

“Saya sentiasa masukkan waktu melawat dan bermalam dengan Fatima dalam jadual saya. Tiada istilah saya sibuk dan tidak masa untuk Fatima,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran butik Amber di sini, semalam.

Berkongsi lanjut, Fattah menegaskan sentiasa menghubungi dan mencari masa untuk Fatimah kerana itu tanggungjawabnya sebagai bapa.

Alhamdulillah saya dan Fazura sudah bersetuju dalam perjanjian sebelum ini, jadi saya dan Fatima dapat berjumpa.

“Sudah tentu sekarang saya tinggal berasingan dengan anak tetapi tanggungjawab sebagai ayah tetap ada dan memang mahu meluangkan masa sebanyak mungkin bersama Fatima,” ujarnya.

Fattah turut menegaskan Fatima tetap memerlukan dirinya meskipun dia dan Fazura tidak lagi bersama.

Kita kena faham situasi dan emosi anak kita, adakalanya mungkin dia mahu meluangkan masa dengan mommy dia. Walaupun mommy dan daddy tidak lagi bersama, dia tidak boleh rasa kehilangan.

“Saya tidak boleh salahkan situasi itu atau menghalang masa dia bersama mommy dia dan faham perkara itu.

Kami ada berunding, macam ada masanya Fazura sibuk dan kadang-kadang dia mahu meluangkan masa dengan Fatima, jadi kita capai persefahaman tersebut.

“Fatima baru berusia empat tahun. Hanya ikut cakap apa yang dia faham. Dia pun kata sayang mommy dan daddy, jadi kita faham benda itu. Insya-Allah lama-kelamaan dia akan faham situasi sebenarnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fattah memaklumkan dia tidak dapat menahan sebak apabila Fatima mengakui pernah bermimpi dirinya disebabkan terlalu rindu.

“Paling membuatkan saya sedih ialah apabila Fatima beritahu dia mimpi daddy.

Beberapa malam dia mimpi dan ingin bertemu dengan saya. Itu membuatkan saya tersentuh,” jelasnya.

Baru-baru ini, Fattah mencuri tumpuan apabila memuat naik foto bersama Fatima dan meminta anak perempuannya itu untuk tidak bersedih kerana bertemu untuk tempoh singkat.

Dalam perkongsian foto tersebut turut kelihatan Fatima mencium pipi bapanya.

Terdahulu, Fattah dan Nur Fazura yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 sah bercerai pada 7 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok