‘Thalita, awak akan buat ‘show’ paling mahal di Singapura’

KOMPOSER terkenal Ajai telah mengundang anak Allahyarham Siti Sarah iaitu Thalita untuk menyertai Konsert byAjai And Mega Friends di Singapura Mei nanti.

Bapa Thalita iaitu pelawak dan usahawan, Shuib telah berkongsi video lamaran Ajai dalam Instagram.

“Awak dijemput untuk berada dan menyanyi lagu ciptaan Ajai di Konsert byAjai and Mega Friends di Singapura.

Hari tu awak buat show paling murah di Bukit Bintang kan, kali ini awak akan buat show paling mahal di Singapura.

“Awak akan berada satu pentas dengan Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Hazama, Asmidar dan Abang Ajai sendiri” kata Ajai kepada Thalita.

Thalita atau nama lengkapnya Dzahira Thalita Zahra, 12, yang terkejut dengan lamaran itu kelihatan tercengang dan seperti tidak percaya dirinya dilamar komposer yang bertanggungjawab menghasilkan lagu pertama untuk arwah ibunya iaitu Kesetiaan.

Thalita sempat bertanya lagu apa yang akan dinyanyikannya pada konsert itu nanti, kata Ajai lagu arwah Siti Sarah wajib dibawakan selain beberapa lagi akan dibincangkan nanti. d

Sementara itu, Shuib meluahkan rasa bangga apabila anaknya bakal mengadakan konsert berskala besar di Kota Singa.

Daddy bangga dengan Thalita. Tahniah. Terima kasih abang Ajai kerana memilih Thalita. Kita sama-sama doakan Thalita,” tulisnya pada bahagian kapsyen.

Terdahulu, pada awal bulan ini Thalita telah diberikan peluang membuat persembahan di Bukit Bintang bersama Radio Era yang disaksikan ratusan peminat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok