Sudah selesai, lelongan rumah Farid Kamil dibatalkan

ISU rumah selesai, lelongan kediaman milik pelakon Farid Kamil di Bandar Saujana Putra (BSP) yang sepatutnya dijadualkan pada 22 Januari ini ditarik balik.

Pengurusnya, Azahari Hamid berkata aktor juga pengarah itu sudah melunaskan bayaran tertunggak kediaman berkembar dua tingkat miliknya, hari ini.

Ya, Alhamdulillah. Semuanya sudah selesai. Lelongan yang dijadualkan pada 22 Januari nanti sudah ditarik balik.

“Farid telah melunaskan tunggakkan bayaran yang tertangguh. Tiada lagi isu,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Begitupun, Azahari lebih selesa tidak menyatakan jumlah yang dilunaskan kepada pihak bank kerana membabitkan privasi.

Itu kena tanya Farid sendiri tetapi paling penting hasil perbincangan berjalan lancar,” ujarnya.

Ditanya mengenai luahan Ketua Pegawai Ekskutif Metrowealth International Group (MIG), Datuk David Teo, Azahari memaklumkan Farid mengetahui perkara itu.

Namun katanya, semua ini berpunca daripada kegagalan penyewa melunaskan bayaran bulanan sejak pertengahan tahun lalu yang sepatutnya disalurkan terus ke bank.

“David ada hubungi saya, tetapi sekadar bertanya khabar. Tidak sentuh pun hal kediaman yang didakwa bakal dilelong itu.

Apa pun saya percaya Farid pun sayangkan rumah itu seperti saya serta ramai lagi warga MIG lain yang turut membeli kediaman di situ lebih 10 tahun lalu,” ujarnya.

Sejak semalam heboh berita lelongan sebuah rumah atas nama Farid Kamil Zahari di Jenjarom, Selangor pada harga RM522,000.

Ramai tertanya-tanya sama ada kediaman yang diiklankan itu adalah milik aktor berkenaan sehingga Azahari mengesahkan khabar tular terbabit kepada HibGlam.

Susulan itu, David menzahirkan perasaan terkilan memandangkan pihaknya membayarkan deposit sebagai hadiah bonus kepada 30 tenaga kerja produksinya termasuk Farid atas kejayaan sebuah filem ketika itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok