RELA dikecam, penyanyi Amira Othman mengakui sengaja mencipta gimik sensasi kononnya menjalin hubungan dengan Fattah Amin demi publisiti lagu baharunya berjudul Bila Nak Kahwin.
Menurut Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 32, sebelum ini dia sering dikatakan artis sepi kontroversi, jadi kali ini dia mengambil risiko menggunakan gimik sebagai satu cara mempromosikan lagu baharunya.
“Dahulu orang selalu tanya saya kenapa saya tak ada kontroversi? Jadi saya ambil risiko dengan melakukan gimik bersama Fattah.
Jika saya tak ambil risiko ini maka saya akan berada di takuk yang sama. Mungkin saya takkan keluar dari zon selesa.
“Saya sedar mungkin ramai yang suka atau tidak suka dengan gimik ini. Saya harap gimik ini tidak lukakan hati peminat dan penyokong saya,” katanya.
Penyanyi lagu Hati Hati juga mengakui sedia dikritik apabila melakukan gimik sedemikian.
“Sebelum lakukan gimik ini saya sudah fikir segala kemungkinan. Pihak label juga ada beritahu tentang risiko yang akan dihadapi.
Insya-Allah saya sudah bersedia untuk menerima segala kritikan. Saya harap mental saya okey untuk mendepani segala kecaman.
“Sewaktu berada dalam Akademi Fantasia dulu pun macam-macam kritikan saya terima,” jelasnya.
Amira juga tidak segan mengaku menumpang populariti Fattah yang meraih tuah luar biasa sejak bergelar duda Oktober tahun lalu.
“Rasanya sesiapa pun yang bekerja dengan Fattah pasti menumpang popularitinya. Saya berterima kasih kepada Fattah dan pihak pengurusan kerana sudi bekerjasama. Saya akan kenang jasanya. Saya harap gimik yang dilakukan ini tidak keterlaluan,” katanya. – HIBGLAM.