‘Sakit penghapus dosa, saya terima qada dan qadar’

PELAKON Datuk Adi Putra menganggap masalah kesihatan dilalui termasuk batu karang dan jangkitan kuman pada paru-paru sebagai dugaan Allah yang ada hikmah tersendiri.

Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 45, berkata, meskipun tahap kesihatannya merudum hingga menuntutnya berehat buat sementara waktu, tanggungjawab kerja tetap menjadi keutamaan.

“Saya menerima semua ini sebagai qada dan qadar. Perlu percaya pada Yang Satu. Setiap penyakit adalah penghapus dosa.

Selebihnya hanya Tuhan yang tahu. Apa yang penting, titian hidup ini perlu dilalui dengan tabah.

“Alhamdulillah, keadaan saya kini semakin baik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi kurta Adi Putra X Qalee, baru baru ini.

Pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu turut menjelaskan ini bukanlah kali pertama dia diuji dengan masalah kesihatan namun kali ini lebih mencabar.

Bukan kali pertama sakit. Sebelum ini pun pernah sakit, cuma kali ini ada kaitan antara penyakit yang dihidapi.

“Saya pun tak tahu apa yang bakal berlaku esok. Namun, selagi sihat saya tetap mendoakan agar semua orang berada dalam keadaan baik,” ujarnya.

Berhubung perancangan berehat selepas selesai penggambaran drama terbaharu berjudul Sekam Di Dada, Adi berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan kerana masih ada komitmen kerja perlu dilunaskan.

Ada kerja yang perlu ditangguh, tetapi Insya-Allah akan diteruskan. Bagi saya, rehat itu hanya datang selepas menghembuskan nafas terakhir.

“Selagi hidup, tanggungjawab mencari ilmu dan berusaha tetap diteruskan. Buat masa ini, saya mengambil ubat dan menjalani pemeriksaan susulan,” katanya.

Tambahnya, doktor pernah menasihatinya agar berehat  tetapi amanah kerja perlu dilaksanakan kerana melibatkan tugas berpasukan.

Jujurnya, saya degil. Kalau saya tidak turun set, siapa yang akan menyelesaikan tugas saya? Walaupun sukar, tanggungjawab tetap perlu dilunaskan,” katanya.

Pada Disember lalu, Adi menerima rawatan di sebuah pusat perubatan akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan masalah batu karang.

Keadaannya ketika itu dilaporkan lemah sehingga memerlukan rawatan intensif. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok