LAMA menghilang dari radar seni hiburan tanah air, pelakon Azar Azmi dipercayai sudah melakukan penghijrahan dalam hidupnya apabila dilihat berhijab.
Dalam sebuah video tular, Azar atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi, 35, dilihat ceria dan melambaikan tangan kepada si perakam sebelum masuk ke dalam sebuah kereta.
Ramai netizen gembira melihat penampilan terbaharu finalis Dewi Remaja 2011 itu. Malah masing-masing meluahkan rasa rindu untuk melihat Azar kembali beraksi dalam kaca televisyen.
Rindunya nak lihat Azar. Aku punyalah minat dengan Azar ni. Terapi tiba-tiba dia menghilang. Aku cari dia dekat Semenyih tau,” komen netizen.
Rindunya. Alhamdulillah hadirnya dengan bertudung. Semoga terus istiqomah dan perbaiki diri ke arah yang lebih baik,” komen seorang lagi netizen.
Terdahulu, berita Azar tiba-tiba senyap dari industri hiburan dan sukar dijejaki hangat diperkatakan ramai terutama oleh para peminatnya.
Kali terakhir wajahnya menghiasi kaca televisyen adalah pada 2021 menerusi sebuah drama.
Tinjauan HibGlam dalam akaun Instagram Azar juga mendapati kali terakhir dia mengemas kini akaunnya adalah pada Mei 2022.
Azar sebelum ini pernah mencipta nama menerusi pelbagai drama popular antaranya Nur 2, Cinta Fatamorgana dan Suri Hati Mr Pilot. – HIBGLAM